AnwarPilihan

Anwar: pemimpin yang lahir dari asas Melayu, Islam

 Oleh: ABDUL RAHIM SABRI | Berasal daripada keluarga berlatar belakang politik, Datuk Seri Anwar
Ibrahim yang lahir di Cherok Tok Kun, Bukit Mertajam menyerlahkan bakat
kepimpinan sejak di Maktab Melayu Kuala Kangsar (MCKK) antara 1960
hingga 1966.

Menjadi pengawas ketika tingkatan enam, beliau petah berpidato hingga
memukau para juri beberapa pertandingan. Tidak hairan seorang juri
pernah menyebut Anwar ada potensi menjadi pemimpin negara pada suatu
masa kelak.

Belajar di Universiti Malaya dalam bidang pengajian bahasa Melayu
antara 1968 hingga 1971, beliau memimpin Persatuan Bahasa Melayu selain
mengepalai gerakan pelajar Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia
(PKPIM).

Pada awal dekad 1970-an, kepimpinan beliau selaku mahasiswa kian
menonjol. Beliau dianggap wira apabila mengetuai kempen menobatkan
bahasa Melayu di kampus itu. Papan tanda berbahasa Inggeris dicat
sebagai tanda protes.

“Papan tanda yang ada tulisan dalam bahasa Inggeris akan dicat di
seluruh kampus universiti termasuk tulisan ‘vice chancellor’,” kata Amin
Ahmad, penulis buku biografi Anwar Ibrahim: Dari Cherok To’ Kun ke
Kuala Kangsar.

Pada 1971, Anwar bersama beberapa rakan menubuhkan Yayasan Anda
Akademik (foto) bagi menyediakan peluang kepada pelajar sekolah kerajaan
yang tidak bernasib baik untuk meneruskan pengajian ke peringkat lebih
tinggi.

Menurut bekas pelajar Nurul Aini Abd Rashid dalam tulisannya di
Facebook pada 24 November 2022, penubuhan institusi swasta berkenaan
bertujuan membantu golongan susah dan tercicir.

Anwar juga mewajibkan pelajar perempuan bertudung untuk mengikuti
pengajian di situ, katanya sambil menambah pemakaian sedemikian belum
diwajibkan di sekolah. Rata-rata pelajar perempuan sekolah kerajaan
tidak bertudung ketika itu.

“Dia merupakan cikgu kesayangan ramai murid dan rata-rata sangat
gembira bila Cikgu Anwar masuk kelas dan mengajar. Dalam pengajarannya,
dia akan selitkan unsur-unsur dakwah,” kata Nurul Aini.

Dalam lingkungan waktu sama, Anwar juga mengasaskan Angkatan Belia
Islam Malaysia (Abim) bersama beberapa agamawan. Dari jawatan setiausaha
agung pada 1972 menjadi presiden kedua Abim dua tahun kemudian.

Kedudukan itu menggiatkan lagi usaha beliau menerapkan nilai-nilai
Islam kepada masyarakat. Sedikit demi sedikit, semakin ramai pelajar
bertudung di universiti.

Pada 1974, Anwar terlibat dalam demonstrasi mahasiswa di Kuala Lumpur
bagi membela rakyat miskin di Baling susulan penurunan harga getah.
Akibatnya, beliau dipenjara bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA)
hampir dua tahun.

Beliau mengejutkan banyak pihak apabila meninggalkan Abim pada 1982
dan menyertai Umno. Anwar kemudian menang kerusi parlimen Permatang Pauh
pada tahun sama. Sejak itu, beliau menyandang pelbagai jawatan timbalan
menteri dan menteri.

Antara 1982 hingga 1983, beliau menjadi timbalan menteri di Jabatan
Perdana Menteri, menteri kebudayaan, belia dan sukan (1983-1984),
menteri pertanian (1984-1986), menteri pelajaran (1986-1991), menteri
kewangan (1991-1998) dan timbalan perdana menteri (1993-1998). Beliau
juga memangku jawatan perdana menteri pada 1997.

Bawa perubahan

Sejak berada dalam kerajaan, Anwar mendukung penubuhan Bank Islam dan Universiti Islam Antarabangsa, kedua-duanya pada 1983.

Ketika menerajui Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Anwar
mencadangkan penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) meliputi acara tenis,
ping pong, berbasikal, olahraga dan bola tampar. Temasya itu menjadi
kenyataan pada 1986.

Ketika menjadi menteri pertanian selama dua tahun, kementeriannya
memperkenal konsep perniagaan pasar tani pada 1985 untuk memudahkan
petani memasarkan hasil mereka.

Bawah pimpinannya, Kementerian Pelajaran memperkenal pemakaian tudung
dan seluar panjang dalam kalangan pelajar. Anwar juga terlibat dalam
memperkenal Falsafah Pendidikan Negara. Beliau mendukung pembentukan
Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) melalui program mikrokredit untuk golongan
miskin meningkatkan pendapatan.

Pada peringkat antarabangsa, Anwar ada hubungan erat dengan
pertubuhan belia Islam sedunia antaranya World Assembly Muslim Youth
(WAMY) dan International Islamic Federation of Student Organization
(IIFSO).

Beliau bersama Prof Ismail Faruqi mengasaskan Institut Antarabangsa
Pemikiran Islam (IIIT) selain menjadi penggerak penubuhan Institut
Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam (Istac) yang diketuai Prof Syed
Muhammad Naquib al-Attas.

Pada 1993, majalah kewangan terkemuka dunia menobat Anwar sebagai
‘Top Four Finance Minister’ manakala majalah Asiamoney mengangkat beliau
sebagai menteri kewangan terbaik Asia pada 1996.

Anwar memahami kesengsaraan rakyat terbanyak

Tahun kedua menjadi menteri kewangan, dibantu kerancakan ekonomi
dunia, Anwar membentang belanjawan yang mencatat lebihan (surplus)
hingga 1998. Sejak itu hingga kini, Malaysia tidak pernah mengulangi
pencapaian sama.

Pemecatannya sebagai timbalan perdana menteri pada 2 September 1998
menyaksikan kebangkitan rakyat. Biarpun tiga kali dipenjara, Anwar
menggembleng parti-parti pembangkang hingga pemerintah sedia ada tumbang
pada 2018.

Selepas kemelut politik berlarutan ekoran Langkah Sheraton, Anwar
yang memimpin Pakatan Harapan, biarpun tidak memperoleh kerusi
mencukupi, akhirnya ke puncak kuasa selepas 24 tahun sebagai pemimpin
pembangkang.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button