Nasional

Institusi tahfiz akui Kerajaan Perpaduan cakna pembangunan Islam

 

Usaha kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim memperkukuh Islam di negara ini tak lagi boleh diragui

KERAJAAN PERPADUAN dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim jelas tidak pernah meminggirkan kemajuan syiar Islam di negara ini. 

Sebaliknya dengan pelbagai peruntukan diberikan kerajaan khusus kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), institusi tahfiz dan sekolah pondok, ia menjadi bukti jelas bahawa kerajaan telah melakukan usaha memperkukuh Islam di negara ini.

Pandangan itu dinyatakan Presiden Gabungan Persatuan Institusi Tahfiz al-Quran Kebangsaan (Pinta) Mohd Zahid Mahmood dipetik laporan Bernama semalam. 

“Tidak timbul isu mengatakan Kerajaan Perpaduan ini membelakangkan dan menganaktirikan Islam, malah mereka (kerajaan) memberi keutamaan kepada Islam itu sendiri dan benda-benda bercanggah dengan Islam sendiri kerajaan tak sokong,” katanya.

Pentadbiran Kerajaan Perpaduan sering ditohmah dengan dakwaan kononnya akan mencalar syiar Islam di negara ini, selain itu fitnah nasib orang Melayu akan terabai turut dijaja untuk memburuk-burukkan kerajaan. 

Komitmen kerajaan dalam memperjuangkan Islam juga diterjemahkan menerusi Belanjawan 2023 dengan memperuntukkan RM150 juta bagi menyelenggara sekolah agama rakyat, sekolah tahfiz dan institusi pondok berdaftar, selain peruntukan RM40 juta bagi kenaikan elaun kepada 35,000 guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) sebanyak RM100 kepada RM1,100.

Selain itu, kerajaan juga bersetuju memberikan sumbangan khas RM600 kepada imam, bilal, tok siak, noja, marbut, guru KAFA dan guru takmir, dengan 70,000 orang akan menerima sumbangan itu melibatkan peruntukan lebih RM40 juta.

Anwar pada Sabtu turut mengumumkan peruntukan tambahan RM150 juta kepada sekolah tahfiz dan institusi pondok yang berdaftar dengan Jakim.

Pengarah Institut Pemikiran Islam Antarabangsa (IIIT) (Timur dan Asia Tenggara) Prof Datuk Dr Mohamad Fauzan Noordin pula berkata umat Islam di negara ini sama sekali tidak perlu bimbang mengenai nasib mereka di bawah pentadbiran Kerajaan Perpaduan.

Katanya kedudukan Islam sebagai agama rasmi negara tetap terpelihara dan terjamin menerusi komitmen dan langkah yang telah diumum dan dilaksanakan kerajaan dalam memartabatkan syiar Islam. 

“Konsep Madani yang dibawa oleh kerajaan sekarang juga sebenarnya mencerminkan nilai-nilai Islam itu sendiri yang merupakan perjuangan pokok dalam Islam,” katanya dipetik laporan sama. 

 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button