Parlimen

Garis panduan rancang tapak perkhemahan bakal dimuktamad

Kerajaan ambil langkah proaktif pastikan tapak perkhemahan selamat untuk pengunjung, mahu elak insiden Disember lalu berulang lagi

KERAJAAN
akan memuktamadkan Garis Panduan Perancangan (GPP) Tapak Perkhemahan akhir April depan, kata Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

Beliau yang juga Ahli Parlimen memberitahu Dewan Rakyat pada Isnin bahawa GPP itu susulan kejadian tanah runtuh di Batang Kali, Selangor pada Disember tahun lalu.

Ia akan memberi fokus kepada aktiviti perkhemahan jenis asas iaitu perkhemahan yang menggunakan khemah yang didirikan di kawasan semula jadi dengan kemudahan asas yang minimum berserta kelengkapan, peralatan dan makanan yang perlu dibawa sendiri oleh peserta.

Setakat ini jelasnya, Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) telah menyediakan draf tersebut dengan mengambil kira pandangan dan maklum balas daripada pelbagai agensi berkaitan, pihak berkuasa tempatan dan pemain industri.

“Antara aspek penting berkaitan perancangan dan kawalan kesesuaian tapak perkhemahan yang digariskan adalah seperti kesesuaian cadangan lokasi tapak perkhemahan yang dibenarkan di kawasan gunung dan berbukit, tepian laut, sungai, kawasan hutan, kawasan berisiko bencana semula jadi serta kawasan sensitif alam sekitar (KSAS) yang lain.

“Selain itu, keselamatan tapak dengan menentukan jarak yang sesuai daripada kawasan larangan dan sensitif alam sekitar, keadaan topografi, tahap kecerunan yang sesuai serta struktur kekuatan tanah.

“Keperluan dan kesesuaian akses laluan keluar-masuk ke tapak perkhemahan serta keperluan kemudahan dan infrastruktur asas seperti sistem perparitan, bekalan air, elektrik, pembetungan, pengurusan sisa pepejal, kemudahan letak kenderaan, pejabat pengurusan, tempat berkumpul, tempat rawatan awal, tandas, tempat memasak serta surau turut diambil kira,” katanya.

Akmal sebelumnya menjawab soalan Ahli Parlimen Damansara Gobind Singh Deo yang bertanyakan sama ada kementerian berhasrat untuk mengeluarkan garis panduan untuk premis yang menjalankan aktiviti perkhemahan di kawasan cerun bukit.

“Adalah diharapkan dengan adanya garis panduan yang disediakan, aspek-aspek berkaitan keselamatan, keselesaan dan pemuliharaan alam semula jadi dapat diberi perhatian dalam perancangan dan pembangunan tapak-tapak perkhemahan supaya tragedi Batang Kali dapat dielakkan pada masa akan datang,” jelas Akmal lagi. 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button