PM adakan kunjungan hormat keatas Presiden Singapura
Kedua-dua pihak turut membincangkan beberapa isu berkait kepentingan kedua negara |
PERDANA MENTERI Datuk Seri Anwar Ibrahim malam tadi mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Singapura Halimah Yacob.
Menerusi catatan di laman Facebooknya, Anwar berkata kunjungan hormat itu berlangsung di sebuah hotel di ibu negara yang turut dihadiri Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir serta Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri.
Pada pertemuan itu jelas Anwar, kedua-dua mereka saling bertukar pandangan berhubung isu yang mempunyai kepentingan bersama kedua-dua negara.
“Ini merupakan pertemuan kedua saya bersama Presiden Republik Singapura selepas lawatan rasmi saya ke republik tersebut pada 30 Januari 2023 yang lalu,” katanya yang turut memuat naik beberapa keping gambar kunjungan itu.
Halimah berada di sini sejak Isnin hingga Rabu untuk lawatan negara ke Malaysia. Ia merupakan lawatan negara pertama Presiden Republik Singapura ke Malaysia sejak 2013.
Semalam Halimah dan delegasinya diberikan sambutan negara di Istana Negara dan menghadiri Majlis Jamuan Negara anjuran Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Seri Paduka pada pertemuan itu menzahirkan harapan agar Malaysia dan Singapura boleh mengembangkan kerjasama dalam bidang baharu seperti ekonomi digital, ekonomi hijau serta keterjaminan makanan.