Politik

Senator Dewan Negara bidas kenyataan ‘keterlaluan’ Presiden PAS

Hasbie bimbang kenyataan tak bertanggungjawab dedah negara kepada keadaan huru hara

SEORANG Ahli Dewan Negara menegaskan kenyataan dibuat Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang menuduh KEADILAN melawan al-Quran sebagai satu kenyataan tidak cermat.

Mohd Hasbie Muda dalam satu kenyataan berkata, tuduhan dilemparkan Abdul Hadi terhadap KEADILAN susulan kenyataan Setiausaha Agong KEADILAN, Saifuddin Nasution Ismail di Kongres Khas parti itu 18 Mac lalu berpunca dari sikap Ahli Parlimen Marang itu yang tidak ‘tabayyun’ dalam menerima berita. 

“Amat tidak betul bila Presiden PAS mendakwa Saifuddin sebagai jahil dan buta al-Quran, atau KEADILAN melawan al-Quran sekali gus melawan Allah.

“Presiden PAS melakukan kesilapan besar dengan membuat komentar ke atas  perkara sepenting ini tanpa merujuk terus rakaman ucapan Saifuddin sesuai dengan ajaran agama Islam yang menyeru kepada tabayyun.

“Tiada dalam mana-mana bahagian ucapan penggulungan Saifuddin Nasution di dalam Kongres Khas yang mewajarkan Presiden Pas membuat tuduhan berat berbunyi “KEADILAN LAWAN AL-QURAN,” kata Ketua Pemuda AMANAH Nasional itu. 

Tambah Hasbie lagi, Abdul Hadi telah tanpa semakan teliti menyerang Menteri Dalam Negeri itu dengan kata-kata “hal ini jelas menunjukkan kejahilan dan sifat buta al-Quran yang lebih parah daripada sifat buta huruf”.

Sedangkan menurutnya, Saifuddin secara jelas telah menganjurkan kepada ahli parti itu bahawa tiada siapa boleh menafikan bahawa sebagai agama yang lengkap, politik sememangnya ada dalam Islam. 

Malah Saifuddin dalam ucapannya turut menekankan tuntutan berpolitik secara Islam dan bukan mempolitikkan agama. 

“Saya setuju dengan tulisan Haji Amidi bin Abdul Manan, Pengarah Jabatan Pemahaman dan Pemantapan Agama KEADILAN bahawa tulisan Minda Presiden Pas bertajuk “KEADILAN LAWAN AL-QURAN” terbabas dari landasan.

“Saya juga setuju dengan tulisan Haji Amidi bahawa tulisan Minda Presiden PAS menunjukkan Presiden PAS sedang memperkukuh fahaman bercitra Khawarij yang ditolak oleh Ahlus Sunnah Wal Jamaah.

“Jika perbuatan begini tidak dibendung segera, negara boleh kembali ke zaman ekstremisme agama yang membawa huru-hara seperti yang pernah berlaku sebelum ini,” tegas Hasbie dalam kenyataan tersebut.

 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button