Global

Anwar nyata komitmen lawan Islamophobia pada lawatan di Jeddah

Perdana Menteri sebelum ini mengajak supaya permusuhan antara agama dan Islamophobia ditolak


PERDANA MENTERI
  Datuk Seri Anwar Ibrahim memulakan usaha mengajak negara Islam menangani pelbagai isu dihadapi umat secara lebih berkesan terutama berkaitan Islamophobia. 

Pandangan itu telah disuarakan secara peribadi, ketika beliau menerima kunjungan hormat Setiausaha Agung Persatuan Kerjasama Islam (OIC) Hissein Brahim Taha dan delegasinya di Jeddah, Arab Saudi semalam. 

“Islamaphobia ialah sikap melampau benci dan anti Islam yang tidak munasabah, tidak siuman kerana dia mengambil sikap yang agak benci kepada semua penganut Islam dan memandang rendah dan menghina agama dan pegangan umat.

“Jadi kita menyatakan harus ada kesediaan di peringkat antarabangsa (dalam soal ini),” kata Anwar dalam sidang media selepas kunjungan hormat itu. 

Difahamkan isu Afghanistan, terutama mengenai peluang pendidikan yang terhad dalam kalangan wanita di negara itu turut dibincangkan dalam pertemuan tersebut.

Anwar juga akan menyentuh supaya lebih banyak usaha dilakukan untuk menyokong perjuangan Palestin.

“Malaysia dan OIC boleh memberikan lebih komitmen untuk membantu Palestin,” tambah Anwar. 

Untuk rekod, Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) itu dalam rangka lawatan rasmi sulung ke negara Asia Barat itu selepas menyandang jawatan Perdana Menteri Malaysia ke-10.

Malaysia dan Arab Saudi dijangka akan membincangkan isu sedia ada selain meneroka pelbagai bentuk kerjasama baharu.

Lawatan itu turut diiringi isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Luar Datuk Seri Zambry Abdul Kadir serta Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil dan delegasi.

“Semoga lawatan ini akan terus memperkukuhkan hubungan kedua-dua negara, insya-Allah,” kata Anwar dalam hantaran melalui Facebook beliau.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button