Nasional

KPM akan perbanyak program peringkat akar umbi untuk dekati guru

LEBIH banyak program di peringkat akar umbi bakal dilaksana Kementerian Pendidikan dalam usaha merapatkan hubungan kementerian dengan pelbagai segmen komuniti pendidikan di negara ini, kata Menteri Pendidikan.

Usaha dapat maklum balas terus dari guru

Merujuk penganjuran program Jerayawara Pendidikan Madani yang julung kali diadakan di Seremban pada Jumaat, Fadhlina Sidek berkata program seperti itu jelas dapat mendekatkan lagi warga kementerian bersama-sama dengan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) serta guru-guru.

“Konsepnya ringkas dan santai sahaja, berkenalan dan beramah mesra sambil memperoleh pelbagai maklum balas guru, pegawai di JPN dan PPD

“Kami mulakan di Negeri Sembilan dan seperti hari ini pengisiannya berkait dengan Ramadan, apa yang penting kami mahu merapat dengan warga kementerian, semua pimpinan hadir dari semua agensi.

“Di setiap jelajah program ini pasti kami akan mengambil isu-isu yang dihadapi guru-guru, tetapi ia bukanlah seperti menjadi sesi townhall yang serius. ” katanya sambil menjelaskan program jerayawara akan diteruskan di negeri Selangor dan diikuti di negeri-negeri lain selepas perayaan Aidilfitri nanti.

Pada majlis tersebut beliau turut menyaksikan Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman antara Bank Islam dan Yayasan Didik Negara selain menyampaikan sumbangan kepada anak-anak yatim terdiri daripada murid-murid sekolah sekitar daerah tersebut.

Sementara itu ketika menyentuh mengenai pekeliling kementerian sebelum ini yang mengarahkan supaya minggu pertama sesi persekolahan di isi dengan aktiviti untuk penerapan nilai-nilai jasmani, emosi, rohani, sosial dan intelek berbanding akademik, Fadhlina berkata ia telah menerima maklum balas positif.

“Selepas dua minggu sesi persekolahan 2023/2024 berjalan, maklum balas yang diterima daripada warga pendidik sangat baik terutamanya berkenaan arahan tiada kelas akademik diadakan pada minggu pertama yang lalu.

“Alhamdulillah semua gembira, minggu pertama memang menjadi, semua sangat gembira dan menceriakan jadi kami lihat semua sekolah dapat impak yang cukup berkesan daripada hala tuju yang ditetapkan di mana minggu pertama tidak ada sesi akademik dan menjadi sesi suai kenal, ia berjaya,” katanya dipetik.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button