Senator cadang tubuh jawatankuasa OKU bawah JPM
KERAJAAN disaran mewujudkan jawatankuasa berkaitan kebajikan Orang Kurang Upaya (OKU) dibawah seliaan Jabatan Perdana Menteri,
Isaiah ikrar terus perjuang kepentingan OKU |
Senator Isaiah Jacob pada persidangan Dewan Negara pada Isnin mengusulkan cadangan itu atas alasan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JK) yang kini menguruskan kebajikan OKU sudah dibebani banyak tugas lain berkaitan isu ibu tunggal, pesakit selain mangsa kes kebakaran dan bencana.
Langkah itu juga tegasnya dapat menjayakan usaha memperkasa komuniti OKU di negara ini yang dilihat ketinggalan berbanding negara lain.
“Apabila jawatankuasa ini ada, hal OKU mereka akan ambil alih daripada JKM, mereka akan pantau setiap lima tahun Akta OKU 2008, yang dah 15 tahun, kita semak semula, elaun OKU juga wajib diteliti, dinaikkan setiap dua tahun, jadi saya mohon YB semua sokong penubuhannya.
“Kita juga harap golongan istimewa ini didaftarkan terus dalam kad pengenalan mereka, tak perlu daftar dengan JKM dan kad OKU ini, kerana ada sesetengah orang (bukan OKU) salah guna kad ini untuk dapatkan keistimewaan yang sepatutnya golongan istimewa ini dapat.” kata Isaiah.
Terdahulu Persidangan Dewan Negara semalam berlangsung dalam suasana sedikit emosi apabila Senator di dalam dewan berdiri sebelah kaki selama satu minit sebagai tanda sokongan dan bersolidariti terhadap Senator Isaiah Jacob.
Pada akhir ucapan sesi perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2023 yang menyentuh soal kebajikan dan pemerkasaan golongan OKU, Isaiah yang juga orang kurang upaya (OKU) kudung sebelah kaki meminta semua ahli dewan berdiri bersamanya.
“Saya telah berdiri untuk sertai perbahasan ini selama 14 minit 15 saat, satu kaki, kami orang kuat upaya…Saya nak tutup dengan satu perkara, saya mohon semua YB (Yang Berhormat), termasuk Yang Dipertua…berdiri selama satu minit dengan satu kaki…terima kasih,” katanya.
Semua Ahli Dewan Negara yang hadir kemudian berdiri sebagai tanda sokongan kepada Isaiah.
“Terima kasih YB Isaiah atas hujah diberikan, saya amat terasa dalam soal ini dan apa yang dibahaskan, semoga didengari pihak kementerian bertanggungjawab.” kata Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara, Senator Mohamad Ali Mohamad.