Negeri

PSI Pulau Pinang dimulakan hanya lepas dapat EIA – Ketua Menteri

 KERAJAAN Negeri Pulau Pinang menegaskan Projek Tambakan Laut Selatan Pulau Pinang (PSI) di negeri itu hanya akan dimulakan selepas Pelan Pengurusan Alam Sekitar (EMP) mendapat kelulusan Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Pulau Pinang tak terburu-buru jalankan projek

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, beliau menjangkakan tempoh dua bulan diperlukan untuk EMP diluluskan berbanding kelulusan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) sebelum ini.

“EMP dijangka tidak akan mengambil masa panjang seperti EIA dan ianya diuruskan oleh peringkat negeri, maka mengikut amalan biasa ia boleh diluluskan dalam masa mungkin dua bulan,” katanya.

Chow bagaimanapun menegaskan, sekiranya JAS merasakan EMP yang dikemukakan tidak lengkap dan perlu ditambah baik maka kerajaan negeri bersedia melalui segala proses yang diperlukan.

“Kerajaan Negeri juga akan memastikan kesemua 71 syarat yang ditetapkan dipatuhi bagi melancarkan proses kelulusan EMP.

“Kita akan minta pakar kaji dan letakkan bagaimana kita nak tunaikan syarat itu, maka apa yang terkandung dalam 71 syarat itu sebenarnya bukan perkara baharu, ia sudah dirundingkan di peringkat teknikal tetapi perlu dipatuhi dan EMP adalah untuk memberi komitmen ini akan dipatuhi melalui mana-mana kaedah,” tambahnya. 

Terdahulu, projek PSI bernilai RM11 bilion itu mendapat kelulusan EIA daripada JAS, namun perlu mematuhi 71 syarat yang ditetapkan.

Ia akan membabitkan penambakan laut secara besar-besaran, termasuk pembinaan tiga pulau buatan dengan keluasan 1,700 hektar di perairan Permatang Damar Laut dekat Bayan Lepas yang ia adalah sebahagian daripada Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button