PM adakan perbincangan dengan empat pemimpin ASEAN
PERDANA MENTERI, Datuk Seri Anwar Ibrahim menunjukkan komitmen tinggi kerajaan mengekal hubungan baik dengan negara jiran lain.
PM Anwar ambil peluang adakan perbincangan |
Dalam kesibukan menghadiri mesyuarat berkaitan sepanjang Sidang Kemuncak ASEAN ke-42, Datuk Seri Anwar Ibrahim sempat melakukan kunjung hormat dan pertemuan bilateral dengan beberapa rakan sejawatnya.
Antara pemimpin yang ditemui termasuklah Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah, Perdana Menteri Laos, Sonexay Siphandone, Perdana Menteri Timor Leste, Taur Matan Ruak dan Perdana Menteri Vietnam, Pham Minh Chinh.
Anwar dalam kunjungan hormatnya ke atas Sultan Brunei menyampaikan hasrat Malaysia untuk menjemput Brunei ke Annual Leaders Consultation yang dijangka dihoskan Malaysia tahun ini.
Tidak sekadar menyampaikan jemputan, kedua-dua pemimpin yang dianggap sahabat baik itu turut mengadakan perbincangan ringkas berhubung isu pelaburan, penandaan tanah, kerjasama dalam kebudayaan dan pendidikan untuk dimanfaatkan kedua-dua negara.
Sementara itu, dalam pertemuan bilateral dengan Perdana Menteri Vietnam Pham Minh Chinh pula, Anwar menyampaikan keterbukaan Malaysia menerima kehadiran delegasi mereka ke Putrajaya sempena ulangtahun ke-50 kedua-dua negara.
Perdana Menteri turut menyatakan harapan agar isu pencerobohan nelayan Vietnam di perairan Malaysia dapat ditangani setegasnya.
Kesepakatan untuk menjalin lebih banyak kerjasama dalam bidang perbankan, program latihan pegawai dan diplomat selain pendidikan serta industri agrikultur antara yang dipersetujui dalam pertemuan dua hala Datuk Seri Anwar bersama rakan sejawatnya, dari Laos Sonexay Siphandone.
Dalam pertemuan dua hala bersama Perdana Menteri Timor Leste pula, Perdana Menteri mengulangi sokongan penuh berkaitan permohonan republik itu dalam keanggotaan keluarga ASEAN.
Anwar dan Taur Matan Ruak turut mengadakan perbincangan yang menyentuh tentang keperluan meningkatkan peluang kerjasama dalam pelaburan, perdagangan, agrikultur dan bidang pembuatan makanan yang menuntut kebersamaan serta komitmen berterusan kedua-dua negara.