Kerajaan yakin ekonomi negara akan terus berkembang
DI SEBALIK cabaran dan ketidaktentuan ekonomi global, kerajaan yakin mampu mencapai unjuran pertumbuhan 4.0 peratus hingga 5.0 peratus bagi tahun penuh 2023.
Ekonomi Malaysia kini kembali dipacu |
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan melalui satu kenyataan pada Jumaat berkata, keyakinan itu berdasarkan asas ekonomi Malaysia yang kukuh serta pelaksanaan langkah Belanjawan 2023.
Menyentuh prestasi ekonomi Suku Pertama tahun ini, Anwar berkata, ia disokong oleh pertumbuhan menyeluruh merentas semua sektor terutamanya sektor perkhidmatan dan pembuatan yang masing-masing berkembang sebanyak 7.3 peratus dan 3.2 peratus.
“Pengembangan ekonomi juga disokong oleh permintaan domestik yang mampan terutamanya perbelanjaan swasta berikutan penambahbaikan berterusan dalam pasaran buruh,” katanya melalui kenyataan Kementerian Kewangan itu.
Bank Negara Malaysia (BNM) melalui laporannya semalam memaklumkan ekonomi Malaysia mencatat pertumbuhan suku pertama 2023 lebih baik dari jangkaan.
Gebenornya, Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata, Malaysia merekodkan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) suku pertama 2023 yang memberangsangkan sebanyak 5.6 peratus, disokong oleh permintaan domestik, pertumbuhan kukuh pasaran buruh dan peningkatan berterusan gaji yang menyokong perbelanjaan penggunaan.
Pencapaian itu lebih baik berbanding pertumbuhan negara serantau lain seperti Indonesia (5 peratus), China (4.5 peratus) dan Vietnam (3.3 peratus) sekaligus dianggap telah membawa keluar Malaysia dari krisis ekonomi.
“Prestasi pertumbuhan Suku Pertama 2023 menyumbang kepada sasaran untuk mencapai pertumbuhan ekonomi keseluruhan tahun 2023 antara 4.0 peratus hingga 5.0 peratus,” kata Kementerian Kewangan merujuk laporan BNM itu.
Dalam kenyataan sama, Kementerian Kewangan turut berkata, pertumbuhan suku pertama itu juga lebih baik berbanding Suku Pertama 2022 iaitu sebanyak 4.8 peratus manakala dari segi pelarasan musim suku tahunan, ekonomi berkembang sebanyak 0.9 peratus pada Suku Pertama 2023 berbanding penguncupan 1.7 peratus pada Suku Keempat 2022.
“Kadar inflasi pada Suku Pertama 2023 menyederhana kepada 3.6 peratus berbanding 3.9 peratus pada Suku Keempat 2022, antara lainnya, berikutan pelaksanaan langkah kawalan harga dan pemberian subsidi kepenggunaan oleh kerajaan
“Kadar inflasi domestik terus mencatatkan trend penurunan kepada 3.4 peratus iaitu lebih rendah berbanding beberapa negara maju dan serantau seperti United Kingdom (10.1 peratus), Filipina (7.6 peratus), Singapura (5.5 peratus), serta Amerika Syarikat dan Indonesia (5 peratus),” kata kenyataan tersebut dipetik Bernama.