Negeri
ABIM gesa Kerajaan Kelantan segera sambut hasrat PM
ANGKATAN Belia Islam Malaysia (Abim) Kelantan menyambut baik hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar untuk melaksanakan projek bekalan air yang lengkap untuk rakyat Kelantan.
ABIM harap Persekutuan bantu AKSB |
Yang Dipertuanya, Mohd Syahiraz Muhammad berkata, isu bekalan air terawat sudah berlarutan sejak sekian lama di negeri itu dan ia pernah diakui sendiri bekas Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.
Justeru beliau berharap Kerajaan Perpaduan dapat tampil membantu berkaitan urus tadbir AKSB dalam memastikan isu itu dapat diselesai segera sebaik mungkin.
“Selain bantuan berbentuk suntikan dana, Abim Kelantan menggesa kerajaan persekutuan turut membantu dalam urus tadbir Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) yang diakui sendiri kelemahannya oleh pemimpin PAS,” katanya.
Terdahulu, Anwar dalam ucapan di Majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani di Perkarangan Stadium Sultan Muhammad IV minggu lalu berkata, pentadbiranya akan menangani masalah berkaitan bekalan air tanpa mengira fahaman politik.
Kelantan jelasnya antara negeri yang menghadapi masalah air agak serius.
Justeru Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu mencadangkan kerjasama kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri dalam menangani isu itu.
Sementara itu, Mohd Syahiran berkata lampu hijau diberikan Anwar perlu disambut dengan semangat negara persekutuan serta kesungguhan di pihak kepimpinan kerajaan negeri.
“Kerajaan negeri perlu segera sahut ajakan terbuka perdana menteri di depan ribuan rakyat Kelantan yang hadir ke majlis itu.
“Anwar membuktikan keterbukaan pentadbiran dan menolak bahawa isu keperluan rakyat yang sekian lama itu tidak wajar dijadikan modal politik,” katanya dipetik.