ADUN runding, selesaikan isu peneroka di Bestari Jaya
KERAJAAN Selangor menafikan dakwaan pihaknya tidak mengambil peduli kebajikan peneroka kelapa sawit di Lot 5170, Mukim Bestari Jaya, Kuala Selangor yang tular baru-baru ini.
Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Juwairiya Zulkifli melalui satu keyataan berkata, kerajaan negeri komited memastikan keharmonian dan pembelaan sewajarnya kepada rakyat.
Walau bagaimanapun lot tersebut adalah tanah hakmilik Kumpulan Hartanah Selangor Berhad (KHSB) yang dikategorikan sebagai Tanah Bencah di Bawah Rancangan Tempatan Daerah Kuala Selangor 2025 dan bukan milik peneroka seperti didakwa.
K’jaan Negeri komited selesai isu rakyat Selangor |
Beliau yang juga ADUN Bukit Melawati turut menjelaskan tanah itu juga sebahagiannya diwartakan sebagai kawasan takungan air minuman zon Sistem Peningkatan Hibrid Pinggir Sungai (HORAS) pada 2009.
“Tanah tersebut dilindungi dan sebarang aktiviti yang berpotensi menyumbang kepada pencemaran seperti perladangan dilarang mengikut Seksyen 48 Enakmen Lembaga Urus Air Selangor.
“Bagaimanapun, pada 17 Jun 2020 atas timbang rasa KHSB menawarkan sewa sebahagian lot kepada peneroka bagi pertanian selama dua tahun sementara kerja selanjutnya dimulakan.
“Meskipun begitu, pihak peneroka tidak bersetuju dan menolak tawaran tersebut,” katanya.
Tambah Juwairiya lagi, isu tersebut telah dapat diselesaikan melalui pertemuannya dengan tiga wakil peneroka pada 11 Mei lalu.
Hasil rundingan tersebut adalah peneroka akur tanah yang diusahakan bukan milik mereka dan perlu dikosongkan apabila kontraktor memulakan kerja.
Selain itu arahan berhenti kerja turut dikeluarkan sementara proses rundingan peneroka bersama Hasil Perangsang Resources Sdn Bhd dibuat dalam masa terdekat.
Dipihak peneroka pula jelasnya, mereka memohon pampasan sewajarnya diberikan kepada mereka.