hiburan

‘Anwar: The Untold Story’ beri makna tersendiri pada saya – Farid Kamil

FILEM biopik Anwar: The Untold Story, memberi makna tersendiri buat pelakon utamanya, Farid Kamil.

Anwar: The Untold Story dianggap filem istimewa

Dipetik laporan Sinar Harian, Farid berkata, filem itu dianggap sebagai karya paling ‘mahal’ sepanjang 22 tahun beliau terlibat dalam dunia seni.

Filem itu yang mengangkat perjuangan politik Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam menentang korupsi sekitar tahun 1993 ke 1998 juga merupakan satu-satunya kisah realiti yang dilakonkannya.

“Terdapat 67 filem pernah saya lakonkan sebelum ini dan semuanya adalah fiksyen. Tetapi filem ini merupakan kisah nyata tentang seorang tokoh di negara kita.

“Ini merupakan satu hasil karya yang mendatangkan kenangan cukup manis bagi saya kerana Anwar sendiri dapat menontonnya ketika beliau kini menjawat jawatan sebagai Perdana Menteri,” katanya.

Filem dibawah arahan pengarah dari Indonesia, Viva Westi itu mengandingkan Farid Kamil dengan Acha Septriasa yang membawa watak Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dengan penggambaran dibuat di Malaysia dan Indonesia.

Filem yang digarap berdasarkan kisah sebenar berlaku dalam sebahagian hidup Anwar ketika mula menjawat jawatan Menteri Kewangan dari 1993 hingga dipecat pada 1998 itu ditayangkan seluruh negara sejak semalam. 

Sementara itu Farid berkongsikan pendiriannya yang bersetuju untuk membawakan watak dalam filem tersebut walaupun ramai di sekelilingnya menasihatkannya untuk tidak melibatkan diri dalam karya tersebut. 

Mereka jelasnya dikhuatiri akan menjejaskan karier memandangkan penggambaran tersebut dibuat beberapa tahun sebelum Anwar menjadi Perdana Menteri.

“Perkara itu memang sudah diketahui, tapi saya tetap cabar diri saya untuk membawa watak ini kerana Anwar dan saya berkongsi satu kriteria iaitu menentang rasuah.

“Oleh kerana kita masih mempunyai seorang pemimpin yang tegarnya menentang jenayah tersebut, maka saya kira amat perlu untuk mengadaptasikan kisah realitinya dalam bentuk filem,” katanya.

Menyentuh lanjut mengenai filem tersebut, Farid berharap ia akan menjadi titik tolak pembaharuan dunia penerbitan di Malaysia.

“Kita harap selepas ini banyak kisah-kisah berkaitan isu realiti di negara ini dapat dipaparkan dengan lebih banyak,” tambahnya.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button