hiburan

Filem Anwar berdasarkan fakta, Zunar jawab Khairuddin

PENERBIT EKSEKUTIF  filem ‘Anwar: The Untold Story’ Zulkiflee Anwar Haque atau Zunar membidas kenyataan Datuk Khairuddin Abu Hassan yang mendakwa filem itu sekadar propaganda.

Babak dalam filem berdasarkan fakta sebenar

.Melalui satu kenyataan Zunar menegaskan babak dipaparkan dalam filem biopik itu antaranya insiden ‘Black Eye’ membabitkan bekas Timbalan Perdana Menteri itu adalah peristiwa benar dan bukan propaganda seperti didakwa. 

Tindakan ahli parti Pejuang itu menyifatkan filem tersebut sebagai propaganda retorik berunsur fitnah yang meloyakan tegas Zunar telah membuktikan Khairuddin sebagai seorang yang ‘jahil fakta’.

“Ahli politik, Khairuddin Abu Hassan menyatakan filem ‘Anwar: The Untold Story’ mengandungi fitnah dan propoganda. Kenyataan ini adalah tidak benar sama sekali.

“Untuk pengetahuan Khairuddin, untuk memberi komen filem ini meloyakan itu tidak cukup, kerana rakyat sekarang sudah membuka mata dan mereka tidak boleh lagi menerima kenyataan retorik politik murahan seperti itu. Komen mesti berdasarkan fakta.

“Sebagai contoh, hampir 30 peratus daripada adegan dalam filem ini menunjukkan Datuk Seri Anwar Ibrahim di dalam lokap polis Bukit Aman pada 20 September 1998 di mana beliau dipukul dan dibiarkan tanpa rawatan selama lima hari dalam insiden ‘Black Eye’.

“Apakah Khairuddin menyatakan adegan-adegan ini adalah fitnah dan tohmahan? Saya tahu Khairuddin kurang membaca sebab itulah beliau tak tahu fakta,” tegasnya.

Zunar dalam kenyataan itu menjelaskan babak insiden ‘Black Eye’ dalam filem tersebut adalah berdasarkan laporan Suruhanjaya Diraja yang menyiasat kecederaan mata lebam Anwar yang dibelasah di dalam lokap polis.

Biarpun mengakui sebagai sebuah filem, mesti ada adegan yang ditokok tambah supaya ada kesan-kesan dramatis, jalan cerita dibuat tanpa menghilangkan fakta sebenar. 

“Biar saya jelaskan, bahawa skrip itu ditulis berdasarkan Laporan Suruhanjaya Diraja Untuk Menyiasat Kecederaan Datuk Seri Anwar Ibrahim Semasa Dalam Tahanan Polis.

“Laporan ini dikeluarkan pada tahun 1999. Untuk pengetahuan Khairuddin, Laporan Suruhanjaya Diraja ini dibentangkan terus kepada YDPA Agong.

“Sesuatu yang dibentang kepada Agong tidak boleh mengandungi fitnah atau tohmahan,” tambahnya. 

Mengulas lanjut Zunar berkata, laporan itu menjelaskan Anwar telah dibelasah teruk dengan menerima tujuh pukulan dengan tangannya bergari.

Beliau turut memperincikan laporan tersebut bagaimana detik Anwar dibelasah oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Rahim Noor.

“Lihat petikan laporan itu, “Anwar diberitahu dia berada dalam lokap No. 6. Beberapa detik kemudian, Anwar mendengar bunyi hentakan langkah-langkah but masuk ke dalam selnya… Anwar bangun berdiri.

“Sebaik sahaja berdiri beberapa detik, Anwar merasai satu tumbukan kuat pada bahagian kiri dahinya atas mata kiri. Dia terjatuh.

“Anwar jatuh mengarah ke kanan. Tangan kanannya ditarik secara paksa untuk berdiri semula. Beberapa tumbukan kencang datang lagi pada leher, muka dan kepalanya,” katanya.

Ketika dibelasah teruk Anwar dalam keadaan tangannya bergari, meskipun tidak mengingati semua tumbukan pada dirinya, Anwar menurut laporan tersebut pasti tujuh pukulan kuat dikenakan terhadap dirinya.

” (Satu) tumbukan ke dahi kiri. Pukulan bahagian kanan atas kepala (dua). Pukulan bahagian kiri atas kepala (tiga). Hentakan ala karate bahagian kiri leher (empat).

“(Selain) tumbukan pada bahagian atas tangan kanan (lima). Tamparan kuat pada telinga kiri (enam). Tamparan kuat pada bahagian kanan muka dekat mulut (tujuh). Pukulan-pukulan berlaku ketika tangan Anwar digari belakang.

“Sepanjang masa Anwar dibelasah teruk, beliau hanya mampu jerit kesakitan. ‘Aduh’. ‘Allah’. ‘Jangan pukul saya’. Keadaan beliau sudah tersangat lemah untuk bangun, tak bermaya akibat pukulan-pukulan teruk.

“Sejurus itu beliau pengsan & tak sedarkan diri sehingga lewat hari 21 September 1998. Di sini dia biarkan terbaring tanpa rawatan selama lima hari,” katanya Zunar yang memetik fakta dalam Laporan Suruhanjaya Diraja itu. 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button