Politik

Saifuddin sanggup bantu Ahli Parlimen PN selesai isu rakyat Batang Kali

PENYELARAS Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Kali Saifuddin Shafi Muhammad dari Pakatan Harapan (PH) sedia membantu ahli parlimen Hulu Selangor menyalur bantuan kepada penduduk setempat.

Melalui satu kenyataan Saifuddin berkata, beliau sentiasa mengetepi perbezaan fahaman politik demi memastikan kebajikan dan kesejahteraan penduduk Batang Kali terjamin.

“Saya bukanlah orang yang layak bercakap tentang apa berlaku di peringkat kerajaan persekutuan tetapi menarik perhatian saya adalah tentang kebajikan dan keperluan orang Batang Kali.

“Dengan peruntukan dan tempoh tugas masih berbaki kurang daripada dua bulan ini, saya berhasrat melihat semula mana permohonan yang dapat diselesaikan bersama,” katanya pada Jumaat.

Kenyataan itu sebagai mengulas rungutan Hasnizan Harun dari Perikatan Nasional (PN) di Facebook berikutan kesukarannya untuk menyalur bantuan kepada rakyat sejak dipilih ahli parlimen kawasan itu dalam pilihan raya umum lalu.

Sementara itu Saifuddin berkata peruntukan sumbangan atau kerja baik pulih projek kecil yang menddesak masih ada dan boleh diselaras di peringkat pihaknya.

Namun tegasnya, semua peruntukan  adalah tertakluk di bawah proses dan tatacara yang telah termaktub.

“Moga sahaja semangat bipartisan (rentas parti) ini memberi kebaikan buat penduduk Batang Kali khasnya dan memastikan suara mereka di atas jalur apapun terus dibela,” katanya lagi.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button