Pilihanraya

Phahrolrazi optimis PH-BN mampu menang PRN Kedah

PENGARAH Jabatan Pilihanraya KEADILAN Kedah, Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi yakin Pakatan Harapan (PH) mampu mengambil pentadbiran negeri itu melalui Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan diadakan tidak lama lagi. 

Jentera mesti kerja kuat raih kepercayaan rakyat

Dipetik laporan Sinar Harian, Phahrolrazi berkata, hasrat itu dapat dicapai melalui strategi yang tepat dan kerja keras dari jentera semua parti dalam Kerajaan Perpaduan bagi meyakinkan rakyat di negeri itu.

“Ada harapan untuk PH menang dan membentuk kerajaan selepas PRN di Kedah tapi janji perlu kerja keras dan strategi kena betul. Sejarah penduduk Kedah dalam memilih parti yang akan memimpin negeri setiap kali PRU sentiasa berubah-ubah kerana mereka mengikut perkembangan semasa,” katanya dipetik laporan itu. 

Phahrolrazi yang merupakan bekas Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Kedah dipecat parti itu selepas memprotes tindakan PH meletakkan calon Melayu DAP di Parlimen Jerai. komited menyokong PH, beliau kemudian memutuskan menyertai parti KEADILAN.  

Sementara itu dipetik laporan sama, bekas timbalan pesuruhjaya Pas Kedah turut berhasrat berkongsi pengalaman membantu Pas mengambil alih Kerajaan Kedah pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2008.

“Saya juga mempunyai pengalaman sebagai pengarah pilihanraya semasa bersama Parti Amanah Negara (Amanah) dan PH mengambil alih kerajaan Kedah pada PRU tahun 2018.

“Semua pengalaman ini akan saya guna untuk membantu KEADILAN dan PH bagi menghadapi PRN yang bakal diadakan tidak lama lagi. Masa cukup singkat tapi kita akan menggunakan sebaik mungkin untuk memperkemaskan jentera parti di Kedah.

Sehubungan itu tambahnya, satu mesyuarat khas bakal diadakan bagi memperkemaskan urusetia pilihanraya KEADILAN Kedah dan jentera tersebut secara rasminya akan bergerak memulakan kerja pada 1 Jun depan.

“Selepas Jabatan Pilihanraya KEADILAN Kedah dipersiapkan dengan baik maka selepas itu strategi seterusnya akan diadakan bersama parti lain dalam PH dan juga Barisan Nasional (BN).

“Misi kita jelas iaitu kempen ‘kalih bagi sama’ dalam memastikan kerajaan negeri Kedah yang dibentuk selepas PRN ini adalah seiring dengan Kerajaan Persekutuan dan bukan lagi menjadi kerajaan pembangkang,” ujar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Mengkudu itu.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button