PM Anwar rasmikan segmen maritim di LIMA’23
PERDANA MENTERI Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Selasa merasmikan segmen maritim Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA’23) yang diadakan di Resort World Langkawi.
PM beramah mesra dengan pegawai tinggi TLDM |
Beliau yang tiba sekitar jam 4 petang turut menyaksikan persembahan khas membabitkan khas pasukan elit dan aset pertahanan maritim negara milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Jabatan Perikanan bersempena perasmian itu.
Persembahan dimulakan dengan aksi penyusupan oleh penyelam tentera dengan menaiki jet ski membawa kompas untuk diaktifkan oleh Perdana Menteri sebagai gimik perasmian segmen itu.
Kemudian Perdana Menteri dipersembahkan demonstrasi pergerakan taktikal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM); Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebelum aksi keupayaan menyelamat tebusan yang menggabungkan kepakaran beberapa agensi seperti Pasukan Khas Laut (PASKAL), Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat (STAR) Maritim Malaysia, Unit Gempur Marin PDRM dan Jabatan Laut Malaysia bersama aset permukaan dan udara masing-masing.
Upacara yang terakhir yang disajikan kepada pemimpin nombor satu negara itu adalah terbang lintas hormat dan pelayaran lintas hormat yang melibatkan aset udara dan permukaan sebagai penghormatan kepada Perdana Menteri dan tetamu-tetamu kenamaan yang lain.
Turut mengiringi Perdana Menteri pada perasmian itu adalah Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Luar, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor dan Panglima Tentera Laut, Laksamana Abdul Rahman Ayob.
Segmen maritim sempena penganjuran LIMA’23 bermula semalam sehingga 27 Mei di mana kemasukan pengunjung bagi segmen di Resort World Langkawi, Pantai Tengah itu adalah percuma.