Nasional

Jadi anak muda bijak, tak mudah terpedaya propaganda jahat – Anwar

PERDANA MENTERI Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru golongan muda untuk memiliki nilai idealisme dan minat untuk membawa perubahan kepada masyarakat.

PM mahu generasi muda ada jati diri

Pada Sesi Santai Petang dan Dialog bersama Perdana Menteri di Dewan Gunung Mat Chinchang, Kolej Vokasional Langkawi pada Rabu, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu turut menyatakan harapan agar golongan muda tidak mudah tertipu dengan propaganda politik yang dimainkan pihak tertentu.

Golongan muda tegasnya mesti bersikap bijak dalam dapat melihat dan mengkaji sesuatu maklumat sebelum membuat sebarang keputusan.

“Ada (golongan) anak muda tetapi perangai (mereka) lebih teruk daripada orang tua, ada anak muda tetapi (mereka) menjadi tali barut atau pencacai (dengan mempertahankan penyelewengan dan penindasan).

“Apa erti (kita punyai) anak muda sebegitu, menjadi anak muda ikut sahaja (apa yang diperkatakan dan menjadi) sebagai macai (yang) tidak berfikir, ataupun sebagai ‘walaun’.

“Anak muda (yang) kita (mahukan adalah punyai) nilai dari segi keyakinan dan minat hendak bawa perubahan, minat dalam menimba ilmu, minat dan cita-cita membawa kebaikan, itu yang disebut (ciri) idealisme,” katanya.

Beliau turut memberi contoh beberapa tohmahan palsu yang dilompar kepadanya pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu yang semata-mata dibuat untuk meraih sokongan. 

“(ada yang dakwa) kalau sokong Anwar, dia akan sokong LGBT, kalau sokong Anwar, (orang) Cina akan berkuasa, (semua) ini tidak betul.

“Ini jadi masalahnya (sebenarnya), maknanya kita (semua terutama orang muda) tertipu dengan propaganda politik, (contohnya) pada masa kempen (PRU-15), mereka kata kalau sokong Anwar, Islam akan dibenamkan, (semua itu tidak benar),” katanya.

 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button