Nasional

LIMA’23: Malaysia berhasrat jadi hub serantau aeroangkasa dan maritim

  

PAMERAN Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA ’23) diharap akan mengukuhkan Malaysia sebagai hab serantau bagi industri aeroangkasa dan maritim.

Malaysia mula bergerak mendepani masa depan

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa menyampaikan ucapan alu-aluan sempena LIMA’23 berkata,dengan langkah itu ia akan membolehkan negara bergerak ke arah merealisasikan Rangka Tindakan Industri Aeroangkasa Malaysia (MAIB) dan Pelan Induk Perkapalan Malaysia.

“Saya ingin mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada kedua-dua menteri peneraju bersama LIMA ’23, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Pengangkutan Anthony Loke, serta pasukan masing-masing yang memacu inisiatif ini.

“Saya juga mahu memuji Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang dan pasukannya, khususnya Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) kerana berjaya menerajui buat julung kalinya SpaceTech Nexus di LIMA tahun ini,” katanya yang juga Menteri Kewangan.

Mengulas lanjut Anwar berkata dengan adanya SpaceTech Nexus telah membuktikan LIMA ’23 adalah acara berfokuskan masa depan dan bersedia memainkan peranan dalam pertumbuhan teknologi angkasa yang dijangka mencapai nilai pasaran global USD10 trilion menjelang 2030.

Edisi tahun ini melibatkan dua kementerian iaitu Kementerian Pertahanan (sektor pertahanan) dan Kementerian Pengangkutan (sektor komersial) bertemakan “Titik Perhubungan Perdagangan Maritim dan Aeroangkasa Asia” bermula 23 hingga 27 Mei ini.

Sementara itu pada ucapannya, Anwar turut memberi penghargaan atas sokongan daripada pelbagai rakan kongsi yang telah menyumbang kepada kejayaan penganjuran acara dwitahunan berprestij itu.

“Menakjubkan dalam tahap sokongan dan pengiktirafan yang diberi kepada Malaysia dan saya juga harus menggunakan kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada rakan-rakan kita dari negara-negara yang mengambil bahagian dalam majlis ini,” katanya dipetik.  

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button