Negeri

Menteri mula bincang selesai isu air di Kelantan

MENTERI Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad menggesa Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) menyelesaikan masalah bekalan air di negeri itu.

Akan berbincang dengan kementerian lain

Beliau berkata, pada pertemuan dengan Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Pengangkutan dan Utiliti negeri, Azami Mohd Nor serta pengurusan tertinggi AKSB untuk berbincang berhubung masalah air Kelantan pada Selasa, pihaknya menyatakan kesediaan melihat soal kewangan termasuk bagi pembinaan loji rawatan air dan penggantian paip di negeri itu,

Namun tegasnya juga kementerian mahu AKSB menunjukkan kesungguhan dengan segera memperbetulkan urus tadbir mereka.

“Saya juga telah mengingatkan, sebagaimana jawapan bekas menteri alam sekitar dan air, Tuan Ibrahim Tuan Man, tanpa usaha membaiki tatakelola AKSB, permasalahan ini tidak akan selesai.

“Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebelum ini secara terbuka menyatakan komitmen kerajaan pusat untuk menyelesaikan isu air di Kelantan,” katanya dalam kenyataan.

Susulan itu tambahnya,  pihak kementerian juga akan mengadakan perbincangan susulan dengan Kementerian Kewangan dan Kementerian Ekonomi untuk mencari penyelesaian terbaik bersama bagi menangani isu air di Kelantan. 

Mengulas lanjut pertemuan pada Selasa itu Nik Nazmi berkata, antara isu lain dibincangkan termasuk berkaitan pembinaan Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) Machang yang diluluskan oleh pusat di bawah Rolling Plan Ketiga, Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dan cadangan pembangunan infrastruktur bekalan air bagi TAPS yang akan dibina.

Perbincangan berkaitan pelaksanaan program pengurangan air tidak berhasil (NRW) melalui penggantian paip usang dan hapus kira pinjaman projek bekalan air luar bandar selari dengan Perjanjian Penstrukturan Industri Perkhidmatan Air Negeri Kelantan juga diadakan. 

“Turut disentuh adalah berhubung perizaban tanah loji pembetungan kepada Pesuruhjaya Tanah Persekutuan (PTP) dan hapus kira baki pinjaman projek pembetungan kepada geran,” katanya.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button