Nasional

Prestasi ringgit dijangka akan memulih, kata BNM

BANK NEGARA MALAYSIA (BNM) menjangkakan prestasi ringgit akan bertambah baik apabila ketidakpastian berhubung perkembangan pasaran global kembali reda.

Matawang terdedah kepada faktor luaran

Melalui satu kenyataan pada Jumaat, bank pusat itu menjelaskan penurunan nilai ringgit tidak terhad kepada Malaysia yang ditentukan oleh faktor pasaran.

“Mengikut kadar pertukaran efektif nominal (NEER),  secara relatifnya pergerakan Ringgit lebih perlahan berbanding rakan dagang utama.

“Dalam persekitaran semasa, perkembangan luaran memberi kesan lebih ketara terhadap prestasi ringgit.

“Justeru, prestasinya berbanding dolar mahupun mana-mana matawang lain, tidak mencerminkan kedudukan ekonomi negara,” kata BNM seperti dipetik laporan media. 

Melalui kenyataan sama, BNM berkata pihaknya akan menguruskan sebarang risiko yang timbul daripada peningkatan ketidaktentuan pasaran kewangan.

BNM juga akan memastikan mudah tunai mencukupi dan pasaran kewangan berfungsi secara teratur.

Dalam perkembangan berkaitan, Kementerian Kewangan menyerahkan kepada Bank Negara Malaysia (BNM) untuk merangka strategi khusus jangka pendek bagi mengatasi isu nilai ringgit yang merosot

Timbalan Menteri Kewangan Ahmad Maslan pada Jumaat berkata ketidaktentuan berterusan nilai ringgit di pasaran antarabangsa dikhuatiri akan memberi kesan pada kadar inflasi negara, kerana import negara akan menjadi mahal.

Tambahnya, nilai ringgit yang lemah berpunca daripada kegagalan Amerika Syarikat (AS) mencapai kata sepakat mengenai had siling hutang negara itu yang kini pada kadar USD31.4 trilion.

“Bila belum diluluskan (had hutang baharu), pelabur masih memegang duit mereka dan permintaan dolar AS semakin meningkat dan mengukuh.

“Kita harap fenomena ini hanya sementara dan ringgit kembali ke tahap stabil seperti kadar lama yang berlaku bagi tempoh 6 bulan sebelum ini,” jelas Ahmad Maslan.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button