Nasional

Bekalan gula menjelang aidiladha mencukupi – KPDN

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memberi jaminan bekalan gula menjelang sambutan Aidiladha pada hujung Jun ini mencukupi.

Pengeluar diminta pastikan bekalan tidak terganggu

Timbalan Menterinya Fuziah Salleh berkata pihak kementerian telah mengarahkan Central Sugar Refinery Sdn Bhd (CSR) dan MSM Malaysia Holdings Bhd (MSM) yang merupakan pengilang bahan mentah itu memastikan gula pasir kasar dan halu dapat dibekalkan seperti biasa untuk diagihkan kepada pemborong.

“Kedua-dua kilang itu telah diarahkan untuk keluarkan bekalan gula seperti biasa iaitu masing-masing 24,000 dan 18,000 tan metrik.

“Kita juga keluarkan arahan kawalan pengeluaran iaitu kita boleh periksa berapa banyak gula yang kilang keluarkan dan berapa banyak dihantar kepada pemborong,” katanya.

Fuziah berkata begitu kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja ke Kuala Terengganu pada Selasa bertujuan memantau status bekalan gula di negeri itu. 

Sementara itu jelas Fuziah, KPDN juga melanjutkan tempoh Op Manis yang sepatutnya tamat pada Isnin kepada 30 Jun bagi memastikan gula mencukupi terutama menjelang tempoh perayaan.

“Op Manis ini juga kita panjangkan (tempoh) untuk pastikan kehadiran gula putih bertapis jernih tak akan meninggalkan kesan kepada pengeluaran gula rakyat sedia ada,” katanya sambil menasihatkan pengguna supaya tidak membuat pembelian panik yang boleh menjejaskan rantaian bekalan gula di pasaran. 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button