Global

Anwar ucap tahniah kepada Erdogan, pelawa adakan lawatan ke M’sia

PERDANA MENTERI Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada Recep Tayyip Erdogan atas kemenangannya dalam pilihan raya Presiden Turkiye baru-baru ini.

Anwar turut sampai hasrat kukuh hubungan negara

Ucapan itu dinyatakan Anwar ketika menerima panggilan telefon daripada sahabat baiknya itu pada Selasa.

“Saya menzahirkan setinggi-tinggi tahniah di atas kemenangan beliau dalam pilihan raya Presiden Republik Turkiye baru-baru ini dan mengagumi ketabahan dan kesabaran beliau dalam menghadapi pelbagai cabaran untuk memenangi pilihan raya tersebut,” katanya.

Dalam paparan video berdurasi empat minit itu, Erdogan dengan dibantu penterjemah menyatakan hasrat untuk mengukuhkan hubungan bilateral yang sedia terjalin bersama Malaysia secara lebih akrab.

“Kami berdua bersetuju untuk mengeratkan hubungan dua hala Malaysia-Turkiye.

“Kami juga bersedia untuk mengangkat kerjasama dalam pelbagai bidang ke tahap yang lebih baik dan lancar,” kata Anwar mengulas perbualan mereka. 

Melalui hantaran sama,  beliau berkesempatan menjemput Erdogan untuk berkunjung ke Malaysia dalam masa terdekat.

Pengerusi Majlis Pilihan Raya Turkiye, Ahmet Yener pada Ahad lalu mengumumkan bahawa Erdogan telah dipilih semula sebagai Presiden dalam pilihan raya penentu yang diadakan.

Beliau berjaya mengatasi pencabar, Kemal Kilicdaroglu dengan keputusan tidak rasmi 52.14 peratus, manakala Kilicdaroglu mencatat 47.86 peratus undi.

Erdogan menerusi pengundian pusingan pertama pada 14 Mei lalu berhasil memperoleh kelebihan hampir lima mata ke atas Kilicdaroglu tetapi gagal mencapai 50 peratus undi yang diperlukan untuk menang.

Hubungan akrab Perdana Menteri bersama Erdogan bukan satu rahsia, malah tokoh terkemuka Turkiye itu adalah antara pemimpin dunia terawal yang menghubungi Anwar bagi mengucapkan tahniah, sejurus selepas beliau mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button