Nasional

Kerajaan pandang serius isu 30,000 pelajar tak ambil SPM tahun lalu

PERDANA MENTERI Datuk Seri Anwar Ibrahim memandang serius laporan yang menyatakan bahawa hampir 30,000 pelajar tidak menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu.

Isu pelajar tak ambil SPM dianggap masalah besar

Presiden Parti KEADILAN itu berkata, isu tersebut sangat membimbangkan dan serius untuk pendidikan negara. Justeru Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek telah diarah untuk meneliti secara terperinci perkara itu bagi memastikan ia tidak berulang tahun-tahun akan datang.

“Perkara ini berlaku masa pasca Covid-19, politik tak tentu arah dan tidak ada dasar jelas.

“Bagi saya 30,000 pelajar perkara yang serius. Nak kata mereka ‘hilang’, mereka tidak hilang cuma kalau tak buat apa-apa ia hilanglah. Tapi yang tak ambil SPM majoriti Melayu, menteri dulu buat apa?” soalnya.

Anwar sebelumnya berucap pada Program Cakna Madani bersama pelajar tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR), Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi pada Selasa.

Terdahulu, media melaporkan, seramai 14,858 atau 3.8 peratus daripada 388,832 calon baharu SPM 2022 tidak hadir menduduki peperiksaan.

Berdasarkan analisis KPM, calon tidak hadir bagi SPM 2022 bertambah berbanding SPM 2021 yang merekodkan 10,681 calon daripada keseluruhan 392,837 calon yang berdaftar.

Dipetik laporan Kosmo, Anwar turut menyelar Menteri Pendidikan ketika itu, Mohd. Radzi Md. Jidin yang jelasnya gagal memantau perkara itu. 

“Hanya selepas Fadhlina jadi Menteri, perkara ini dibongkar. Ini adalah masalah tetapi dalam kempen, dia (Radzi) tak sebut perkara ini,” katanya. 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button