Parlimen

Kerajaan pertimbang letak SPRM di bawah EAIC

KERAJAAN sedang
mempertimbang untuk meletakkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia
(SPRM) sebagai salah satu agensi penguatkuasaan di bawah pemantauan
Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC).

Langkah pastikan salah laku dapat dibendung
Timbalan
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi
Institusi), Ramkarpal Singh berkata, satu nota Jemaah Menteri telah
dikemukakan kepada Kabinet pada 19 April lalu bagi membincangkan hala
tuju penyerapan SPRM ke dalam EAIC.
Katanya, cadangan meletakkan
SPRM di bawah pemantauan EAIC juga akan memastikan sebarang salah laku
pegawai agensi penguatkuasaan itu dipantau secara komprehensif, selain
memenuhi keperluan semak dan imbang.
“Justeru itu, cadangan SPRM
diletakan di bawah Jadual 700 kini sedang diteliti secara mendalam dari
pelbagai sudut dan satu Jawatankuasa Pro-tem telah ditubuhkan.
“Selain
daripada itu, pada 2 Mei tahun ini, satu mesyuarat yang dipengerusikan
oleh Menteri Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi
Institusi) (Datuk Seri Azalina Othman Said) dan juga dihadiri
Pesuruhjaya EIAC, Pesuruhjaya SPRM (Tan Sri Azam Baki), Jabatan Peguam
Negara bagi mendapatkan pandangan tentang isu yang dibangkitkan,” jawab
beliau di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk
Seri Dr Dzulkefly Ahmad (PH-Kuala Selangor) yang meminta menyatakan
apakah Kerajaan Madani di bawah Perdana Menteri ke-10 mahu meletakkan
SPRM di bawah EAIC, sebagai langkah untuk benar-benar mewujudkan badan
bebas yang mempunyai kuasa kawalan tatatertib berkesan bagi meningkatkan
integriti penguat kuasa dan agensi berkenaan.
Mengulas lanjut,
Ramkarpal berkata Jawatankuasa Pro-tem yang dianggotai oleh semua pihak
berkepentingan akan mengesyorkan hasil dapatan bagi mendapatkan
ketetapan dasar oleh Jemaah Menteri kelak.
Jelas beliau, satu
mesyuarat kerja akan diadakan oleh Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal
Undang-Undang JPM dalam masa terdekat bagi meneliti pandangan dan
cadangan daripada semua agensi berkepentingan dan badan bukan Kerajaan
(NGO) berhubung dengan perkara tersebut.
EAIC ditubuhkan melalui
Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 (Akta 700) yang
telah diwartakan pada 3 Sept 2009 dan mula berkuat kuasa pada 1 April
2011.
Ketika ini, terdapat 21 agensi penguatkuasaan disenaraikan
di bawah Jadual Akta 700 dan pemakaiannya kepada SPRM telah dikecualikan
melalui peruntukan di bawah subseksyen 1(5) Akta 700.
– AA

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button