Nokhtah kemiskinan: PM Anwar akan bincang dengan semua pegawai daerah
PERDANA MENTERI Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan pertemuan dengan semua pegawai daerah di seluruh negara pada minggu hadapan khusus bagi membincangkan tentang usaha menoktahkan masalah kemiskinan tegar di negara ini.
Kerajaan terus berkerja, usaha nokhtah kemiskinan |
Menurut Timbalan Menteri Kewangan Datuk Seri Ahmad Maslan, ia adalah usaha kerajaan bagi menangani isu kemiskinan di negara ini khususnya di luar bandar.
“Antara perkara yang dibincangkan dalam pertemuan itu nanti adalah menoktahkan kemiskinan tegar ini.
“Ia akan dibincangkan dan bagaimana peringkat daerah boleh melaksanakannya,” katanya di persidangan Dewan Rakyat, hari ini.
Terdahulu, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh (PN-Pasir Puteh) meminta kerajaan menjelaskan mengenai program baharu yang diperkenalkan kerajaan dalam usaha menoktahkan masalah kemiskinan tegar.
Sementara itu Ahmad berkata, kerajaan telah meluluskan RM750 juta melalui Belanjawan 2023 untuk menoktahkan kemiskinan tegar tahun ini dengan peruntukan disalurkan kepada Kementerian Ekonomi.
Peruntukan itu bagi melaksanakan tiga program baharu termasuk pemberian pekerjaan kepada golongan tertentu.
Tambah beliau, selain itu kerajaan turut memberikan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) sebanyak RM2,500 bagi bantuan golongan miskin dengan pendapatan RM2,500 dan ke bawah serta mempunyai lima orang anak.
Tambahan RM1,500 turut disalurkan jika mereka juga termasuk dalam kumpulan eKasih (seliaan Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri).
Kerajaan juga, kata beliau menyediakan latihan termasuk latihan perniagaan bagi membolehkan mereka berdikari agar mereka tidak terlalu bergantung kepada bantuan kewangan.
“Kumpulan ini perlu diberi latihan terdahulu kemudian barulah mereka boleh berniaga.
“Kalau mereka berpaut dengan bantuan-bantuan yang ada, sampai bila mereka boleh keluar dari kemiskinan tegar. Mereka perlu dilatih dan menjadi usahawan kecil,” jelasnya.
Selain itu tambah Ahmad Mazlan, kerajaan turut menyediakan RM900 juta untuk melatih penjaja dan peniaga kecil melalui Bank Simpanan Nasional (BSN) dan RM330 juta oleh Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN).
Dilaporkan, bilangan ketua isi rumah (KIR) miskin tegar berdaftar telah berkurangan daripada 124,744 kepada 118,217 orang bagi tempoh 15 Dis 2022 hingga 15 Mei lalu.
Manakala menurut data eKasih, KIR miskin berdaftar pula berkurang daripada 304,911 kepada 299,080 KIR dalam tempoh yang sama.
-AA