Cadangan PM perluas peranan Jakim satu pengiktirafan – Mohd Na’im
CADANGAN Perdana Menteri dalam memperluas peranan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) satu pengiktirafan bagi fungsi dan peranan semasa jabatan itu.
Kerajaan pimpinan Anwar letak hala tuju jelas |
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dipetik laporan Bernama berkata komitmen dinyatakan Datuk Seri Anwar Ibrahim itu membuktikan Kerajaan Perpaduan dipimpinnya memberikan medan lebih luas kepada jabatan berkenaan memainkan peranan dalam pembangunan negara.
“Kerajaan Perpaduan meletakkan hala tuju dan agenda yang jelas mengenai pembangunan Islam dalam pentadbiran negara. Sekarang ini menjadi cabaran kepada pengurusan Jakim untuk menyahut cabaran yang diberikan pucuk pimpinan negara kepada Jakim.
“Islam adalah cara hidup justeru Perdana Menteri melihat bahawa peranan Jakim perlu diperluaskan lagi merentasi fungsi-fungsinya yang tradisi dan perlu merentasi bidang-bidang yang lebih luas dan memberikan impak signifikan kepada pembangunan negara,” katanya dipetik.
Anwar pada Ahad lalu menyatakan hasrat memperluaskan peranan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dalam usaha mengangkat martabat dan darjat negara
Ia termasuk dalam membantu melakar rangka dasar pembangunan negara berteraskan Malaysia Madani.
Mengulas perkara itu, Mohd Na’im berkata Jakim pada masa ini sedang merangka struktur pelaksanaan pengembangan peranannya antaranya untuk memberikan tumpuan kepada penterjemahan aplikasi Maqasid Syariah dan nilai-nilai Islam bersama pelbagai agensi dalam dasar-dasar kerajaan.
“Ini termasuk penekanan dan tumpuan ditujukan kepada pendekatan fungsional dan aktualisasi yang strategik dalam pelbagai aspek kehidupan berasaskan kepentingan dan orientasi maslahah rakyat, dan tidak terhenti kepada perbahasan konsep dan retorik teori semata-mata,” katanya.