Kerajaan hapus pengkelasan B40, M40, T20 mulai tahun depan
KERAJAAN akan menghapuskan pengkelasan B40, M40 dan T20 dalam kalangan rakyat secara berperingkat mulai tahun depan.
Kementerian sudah bincang peringkat simulasi Mengumumkan keputusan itu, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dilaporkan berkata, semua pihak bakal melihat peralihan daripada subsidi menyeluruh.
Katanya, beberapa inisiatif atau dasar dilaksanakan kerajaan ketika ini, berbeza berbanding pendekatan pentadbiran terdahulu, termasuk berkaitan bantuan atau subsidi.
“Kerajaan Perpaduan perlu memastikan semua infrastruktur sedia ada dan perlu melakukan ujian perintis, sebelum memutuskan berapa tahap pendapatan layak diberi bantuan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis pelancaran Mesin Layan Diri Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).
Rafizi berkata, kerajaan cuba meminimumkan kesilapan pengecualian subsidi yang berlaku akibat pengkelasan kategori gaji, namun ia perlu dijalankan secara berperingkat.
Katanya, di peringkat Majlis Tindakan Ekonomi (MTEN), kerajaan sudah mula berbincang mengenai perkara berkenaan.
“Di peringkat MTEN, kita sudah mula bincang mengenai simulasi, siapa patut dapat apa, apakah pendekatan akan diberikan, adakah akan diberi penambahan nilai pendapatan dan sebagainya.
“Kita akan melaksanakan satu demi satu bantuan sosial yang di sepadu berdasarkan pendapatan boleh belanja bersih isi rumah.
“Ia mampu direalisasikan dengan kerjasama pelbagai agensi menerusi perkongsian dalam Pangkalan Data Utama (PADU), sekali gus memastikan keberkesanan pelaksanaan program subsidi kerajaan,” katanya.
Pada Mei lalu, kerajaan mengumumkan akan mula melaksanakan peralihan dasar sosioekonomi daripada pendekatan berasaskan pendapatan B40, M40 dan T20.
Dasar sosioekonomi itu akan dilakukan peralihan kepada berasaskan pendapatan boleh belanja bersih isi rumah, bermula Januari 2024.
-AA