Negeri

Pahang komited kekal status Rizab Biosfera Tasik Chini

KERAJAAN Perpaduan Pahang komited dalam usaha mengekalkan status Rizab Biosfera Tasik Chini.

Keputusan ICC MAB53 sangat bermakna

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menyatakan komitmen itu susulan pengekalan status Rizab Biosfera di bawah Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO).

Jelas Wan Rosdy, keputusan mesyuarat International Coordinating Council of Man and the Biosphere Programme ke-35 (ICC MAB35) mengekalkan status Tapak Rizab Biosfera Tasik Chini juga sebagai ‘sangat bermakna kepada kerajaan negeri’. 

“ICC MAB35 membuat keputusan ini berdasarkan syor Jawatankuasa Penasihat Antarabangsa mengenai Rizab Biosfera (IACBR) dengan mengambil kira usaha yang telah diambil kerajaan negeri bagi menambah baik pengurusan Tapak Rizab Biosfera Tasik Chini,” katanya menerusi satu kenyataan.

Tasik Chini merupakan tapak rizab biosfera pertama di Malaysia yang mendapat pengiktirafan pada 2009 dan di Malaysia terdapat dua lagi tapak rizab biosfera iaitu Banjaran Crocker, Sabah dan Bukit Bendera, Pulau Pinang yang masing-masing mendapat pengiktirafan pada 2014 dan 2021.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad pada Rabu memaklumkan keputusan ICC MAB35 mengekalkan status Tasik Chini.

Persidangan ICC MAB35 yang berlangsung di Paris, Perancis membuat keputusan itu berdasarkan semakan berkala kawasan tapak itu menepati kriteria Kerangka Statutori Rangkaian Rizab Biosfera Dunia (WNBR) selain mengambil kira syor IACBR.

Sementara itu menurut Wan Rosdy, antara usaha dijalankan kerajaan negeri bagi mengekalkan fungsi Tapak Rizab Biosfera Tasik Chini antara lain melalui kemas kini pengezonan, mewartakan Hutan Simpan Kekal Chini, menubuhkan Perbadanan Taman Negeri Pahang dan melaksanakan moratorium terhadap aktiviti perlombongan sekitar kawasan itu.  

 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button