Negeri

PITAS sokong usaha Selangor angkat kualiti keselamatan sekolah tahfiz

KERAJAAN SELANGOR menyanggah dakwaan pihak tertentu bahawa ada cubaan menutup sekolah agama persendirian atau menghentikan usaha dakwah di negeri itu. 

Exco Agama Islam Selangor Zawawi Mughni dalam satu kenyataan media menyatakan ketegasan itu sebagai merujuk tohmahan yang timbul susulan keputusan kerajaan negeri meminta pengusaha sekolah agama persendirian mendaftar dengan pihak berkuasa.

Jelasnya, walaupun menyedari usaha murni kerajaan negeri dalam memastikan keselamatan pelajar itu telah disalah tafsirkan, beliau lebih kecewa apabila ada pihak tertentu mengambil kesempatan dengan cuba memburukkan kerajaan negeri dalam isu berkenaan. 

“Tuduhan ini merupakan tohmahan tidak berasas sesetengah pihak yang cuba memburukkan usaha murni kerajaan Selangor dalam mengangkat kualiti dan taraf sekolah agama persendirian.

“Jawatankuasa Pasukan Khas juga telah memulakan langkah penambahbaikan garis panduan sedia ada untuk dipermudahkan, melalui langkah tersebut maka hanya syarat minimum dikenakan kepada pengusaha sekolah agama persendirian di Selangor,” katanya.

Zawawi kecewa usaha murni cuba dijadikan fitnah

Zawawi sementara itu mengingatkan pengkritik bahawa langkah pemutihan tersebut menyusuli titah Sultan Selangor yang gusar akan peningkatan kejadian malang yang menimpa sekolah agama persendirian, termasuk kes kebakaran.

Atas dasar itu jelasnya Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Selangor  (Pitas) yang dianggotai 478 sekolah telah menyatakan sokongan kepada usaha yang mahu dilakukan itu. 

“Usaha kerajaan Selangor untuk mengangkat martabat sekolah agama persendirian diyakini memberi manfaat kepada pelajar dan ibu bapa,” katanya.

Sebagai rekod, seramai 21 pelajar dan dua guru pusat tahfiz terkorban dalam satu insiden kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Wangsa Maju, Kuala Lumpur pada 2017. Insiden itu turut menyebabkan 5 pelajar lain cedera. 

Pada tahun sama, Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan mendedahkan 144 notis bahaya kebakaran dikeluarkan bomba terhadap pusat tahfiz, sekolah pondok, dan rumah anak yatim di seluruh negara.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button