Semasa

‘Bayarlah elaun mencukupi untuk pelajar intern’, kata Perdana Menteri

MAJIKAN seharusnya mempertimbangkan untuk membayar jumlah yang sekurang-kurangnya mampu menampung kos perjalanan atau perbelanjaan harian pelajar yang sedang menjalani latihan industri atau ‘internship’.

Majikan perlu bersikap prihatin dan adil

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bayaran yang terlalu rendah oleh majikan kepada pelajar terbabit dianggap tidak munasabah.

Jelasnya, walaupun secara prinsipnya ‘intern’ itu bukan pekerja, namun majikan perlu bersikap prihatin dan adil kepada pelajar terbabit.

“Untuk syarikat-syarikat tidak bayar sama sekali dan bayar sangat rendah itu tidak munasabah, ini sebab saya katakan dasar ekonomi kita harus tekankan prinsip keadilan.

“Syarikat digalakkan untuk ambil ‘intern’, bukanlah bayar gaji atau separuh gaji tetapi sekurang-kurangnya bayarlah yang mencukupi supaya perjalanan mereka, makan mereka ditanggung walaupun ‘intern’.

“Sebab itu bila saya ambil ‘intern’ semasa di pejabat Ketua Pembangkang dulu di Parlimen, kita bayar tidak terlalu tinggi tetapi ada sedikit elaun untuk kos perjalanan dan makan minum kerana prinsipnya ‘intern’ itu bukan pekerja,” katanya ketika program Temu Anwar di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) pada Ahad.

Terdahulu, salah seorang pelajar di UMK tampil dengan soalan berhubung apakah usaha kerajaan terhadap isu pelajar latihan industri yang tidak menerima sebarang bayaran daripada pihak majikan.

Perdana Menteri sementara itu menegaskan perkara berkenaan untuk dibincangkan bagi mendapatkan satu penyelesaian yang inklusif berhubung permasalahan yang dibangkitkan itu.

 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button