Kerajaan akan pastikan kekosongan jawatan doktor ditangani – Dr Zaliha
KEMENTERIAN KESIHATAN (KKM) memberi jaminan akan memastikan kekosongan jawatan doktor kontrak di klinik dan hospital kerajaan dapat di isi secepat mungkin.
KKM ambil perhatian isu kemaslahan petugas |
Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata langkah penggantian itu dilakukan bagi mengelak kekurangan kakitangan perubatan selain memastikan kelancaran perkhidmatan kesihatan seluruh negara.
“Apabila masuk penempatan daripada houseman (doktor pelatih) kepada pegawai perubatan (MO), tentu ada penggantian selepas itu.
“Jadi insya-Allah semua itu kita akan pertimbangkan. Jangan bimbang kemaslahatan petugas kita, kita akan ambil prihatin,” katanya
Ahli Parlimen Sikijang itu sebelumnya diminta mengulas kenyataan Hartal Doktor Kontrak (HDK) pada Isnin yang bimbang keputusan kerajaan menyerap hampir 4,000 doktor kontrak ke jawatan tetap akan mengganggu kelancaran perkhidmatan kesihatan negara.
Menurut mereka apabila doktor-doktor itu diserap ke jawatan tetap ia akan menyebabkan berlakunya situasi kekurangan tenaga kerja di banyak fasiliti.
Sementara itu jelas Dr Zaliha, Jemaah Menteri pada 1 April lepas bersetuju untuk menubuhkan jawatankuasa peringkat tertinggi yang menggabungkan beberapa kementerian dan agensi, bagi menangani isu doktor kontrak.
Katanya jawatankuasa itu telah melakukan beberapa siri libat urus termasuk dengan Bahagian Pelatih, Pegawai Perubatan dan Pakar Perubatan (Schomos) dan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) bagi melihat semua sudut, namun hasilnya belum dibentangkan kepada Kabinet.
Justeru jelasnya beberapa sesi libat urus sudah diadakan dengan pihak berkaitan serta kementerian lain dan hasil dari sesi libat urus itu akan dikemukakan tidak lama lagi, bersama saranan kepada Jemaah Menteri.