Mohammad Sabu tak sabar kembali sambung kerja
MENTERI Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkongsi rasa tidak sabar untuk kembali bertugas.
Mohammad ucap terima kasih kepada yang mendoakan |
Hasrat itu disuarakan Mohammad melalui satu klip video dikongsikan di akaun Facebooknya sebagai mengulas situasi kesihatannya selepas menjalani pembedahan penyakit apendik minggu lalu.
Tambahnya, beliau tidak sabar mahu kembali ke pejabat kerana kementerian banyak kerja yang perlu diselesaikan dan beliau tidak berhasrat menangguhkan pekerjaan walaupun dalam keadaan tidak sihat.
“Saya tidak sabar untuk kembali bertugas di Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan. Banyak lagi kerja-kerja yang perlu diselesaikan demi menjamin sekuriti makanan negara.
“Insya Allah saya akan terus memberikan yang terbaik demi negara,” katanya.
Dalam rakaman tersebut juga Timbalan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu turut menyampaikan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua yang mendoakannya.
Tidak terkecuali kepada sahabat serta menteri kabinet yang hadir melawat dan memberi kata semangat kepadanya sepanjang menerima rawatan.
“Terima kasih kepada semua yang mendoakan kesembuhan saya setelah selamat menjalani pembedahan apendiks.
“Kata-kata semangat dari semua membuatkan saya lebih kuat dan bersemangat untuk kembali pulih dan sihat seperti sedia kala,” tambahnya.