Semasa

Pendaftaran program eBeliaRahmah bermula Isnin depan – PM

BELIA berumur 18 hingga 20 tahun atau pelajar sepenuh masa di institut pengajian tinggi (IPT) boleh mula mendaftar untuk menerima kredit RM200 menerusi program eBeliaRahmah mulai Isnin ini.

Seramai dua juta belia akan dapat manfaat

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tempoh pendaftaran dan tuntutan eBeliaRahmah adalah mulai 26 Jun 2023 sehingga 22 Ogos ini manakala, kredit eBeliaRahmah serta manfaat padanan daripada penyedia perkhidmatan e-dompet terlibat boleh dibelanjakan secara ‘offline’ sehingga 31 Ogos 2023.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan memperuntukkan RM400 juta bagi program eBeliaRahmah di bawah Belanjawan 2023 yang akan memanfaatkan seramai dua juta belia yang layak.

“Selain bertujuan untuk terus memupuk budaya pembayaran tanpa tunai dalam kalangan belia, ini juga sedikit sebanyak meringankan beban kewangan mereka.

“Tambahan lagi, ini juga merupakan peningkatan tawaran kredit e-tunai berbanding RM150 tahun lalu,” katanya menerusi kenyataan akhbar semalam.

Sementara itu jelasnya beliau, selain bantuan RM200 dalam bentuk kredit e-tunai daripada kerajaan, penyedia perkhidmatan e-dompet terlibat turut akan memberikan insentif tambahan dalam bentuk baucar, pulangan tunai (cashback) atau diskaun mata ganjaran (rewards points) sepanjang tempoh program ini.

“Kredit RM200 ini juga boleh dimanfaatkan di peruncit atau peniaga yang menerima pembayaran melalui kod QR DuitNow dengan menggunakan salah satu e-dompet yang terlibat dalam program ini, tertakluk kepada transaksi yang dibenarkan.

“Pendaftaran boleh dilakukan melalui aplikasi penyedia perkhidmatan e-dompet (Boost, Setel dan Touch ‘n Go eWallet). Untuk maklumat lanjut mengenai eBeliaRahmah, layari https://budget.mof.gov.my/manfaat/faq/ebeliarahmah.html,” katanya.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button