Nasional

Jimat hampir RM6 juta laksana stesen minyak tanpa subsidi di Perlis

KERAJAAN berjaya menjimatkan hampir RM6 juta peruntukan subsidi minyak kerajaan melalui pelaksanaan projek rintis stesen minyak tanpa subsidi di dua stesen di Perlis.

Inisiatif mampu kekang ketirisan

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh berkata walaupun inisiatif yang diperkenalkan sejak Febuari itu bersifat liberal, namun ia berkesan untuk mengekang ketirisan. 

“Dalam dua bulan pertama ada penurunan jualan minyak diesel dan RON 95 di stesen yang bersubsidi dengan penjimatan masing-masing RM1.77 juta dan RM3.98 juta dan pada masa sama di stesen minyak tanpa subsidi ada peningkatan (jualan) diesel dan juga RON 95.

“Maksudnya kenderaan asing itu sendiri berbuat demikian kerana harga bahan bakar di Thailand lebih mahal. Jadi macam mana pun mereka datang dan beli di negara kita walaupun tanpa subsidi (kerana) harganya lebih murah dari negara mereka,” katanya.

Fuziah sebelumnya menjawab soalan Senator Hussin Ismail di Dewan Rakyat. 

Hussin sebelumnya ingin tahu secara terperinci berkenaan mekanisme pelaksanaan stesen minyak tanpa subsidi serta mekanisme pengawalan minyak bersubsidi.

Dua stesen minyak yang terlibat dengan projek rintis tersebut ialah di Padang Besar dan Wang Kelian, Perlis.

Sementara itu, Fuziah berkata kementerian turut melaksanakan Ops Tiris sebagai satu lagi mekanisme untuk mengawal ketirisan subsidi bahan bakar.

“Sepanjang Ops Tiris dilaksanakan pada 1 Mac hingga 31 Mei, sebanyak 6,571 pemeriksaan dilaksanakan di mana terdapat 221 kes dengan nilai rampasan berjumlah RM5.41 juta dan 198 tangkapan,” tambahnya. 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button