Semasa

Inflasi turun 2.8 peratus pada Mei berbanding 3.3 bulan lalu – DOSM

KADAR inflasi negara bagi Mei 2023 terus mereda dengan Indeks Harga Pengguna (IHP) turun kepada 2.8% daripada 3.3% pada bulan sebelumnya.

Kadar Inflasi diharap terus catat penurunan 

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dalam kenyataan pada Jumaat berkata, situasi tersebut disumbangkan terutamanya oleh penurunan bagi makanan dan minuman bukan alkohol yang mencatat 5.9% (April 2023: 6.3%); pengangkutan 1.0% (April 2023: 2.3%); serta hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah pada 2.7% (April 2023: 3.0%). 

Kenaikan inflasi di Malaysia bagaimanapun jelas DOSM, kekal didorong oleh peningkatan indeks restoran dan hotel yang mencecah 6.7% berbanding 6.6% pada April 2023.

“Wajaran masing-masing bagi kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol (29.5%); pengangkutan (14.6%) serta restoran dan hotel (2.9%) yang meliputi 47.0% daripada wajaran keseluruhan IHP, turut memberi impak ketara kepada kadar inflasi dan kos sara hidup,” katanya.

Dalam kenyataan sama, DOSM memberi perbandingan kadar inflasi Malaysia dengan beberapa negara terpilih bagi tempoh Mei 2023. 

Kadar inflasi Malaysia menurut DOSM sebanyak 2.8% itu lebih rendah berbanding Zon Eropah pada 6.1%; Amerika Syarikat (4.0%); Filipina (6.1%); Indonesia (4.0%) dan Korea Selatan (3.3%).

Selain itu, inflasi di peringkat negeri menyaksikan tujuh negeri mencatat peningkatan melebihi paras inflasi nasional, iaitu Sarawak (3.5%); Selangor (3.3%); Perak (3.2%); Putrajaya (3.1%); Pahang (3.1%); Melaka (3.1%) dan Sabah (3.0%).

Bagi inflasi teras yang mengukur perubahan harga barang dan perkhidmatan, tidak termasuk item makanan segar yang tidak menentu dari segi harga serta barang dan perkhidmatan tertakluk dengan kawalan harga dari kerajaan, peningkatan lebih perlahan dicatatkan kepada 3.5% daripada 3.6% pada April 2023.

Menurut DOSM, kenaikan tersebut didorong terutamanya oleh peningkatan perlahan kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol pada 7.1% daripada 7.2%, manakala bagi restoran dan hotel, 6.7% berbanding 6.6% dalam bulan sebelumnya.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button