Nasional

Khazanah bakal wujudkan platform baharu bantu syarikat Bumiputra

SATU PLATFORM ‘pelaburan hijau’ baharu untuk menarik lebih banyak
pelaburan langsung dari dalam atau luar negara bakal diwujudkan melalui
Khazanah Nasional Bhd (Khazanah)

Langkah cipta lebih banyak peluang pekerjaan
Perdana Menteri Anwar Ibrahim,
berkata cadangan itu antara perkara dibincangkan dalam Mesyuarat Lembaga
Pengarah Khazanah ketiga bagi 2023 yang diadakan beberapa hari lalu,
dengan peranan Khazanah dalam usaha pembangunan negara dibincangkan
secara tuntas.
Tambah Anwar, beliau berharap dengan adanya
platform baru itu, ia akan membantu syarikat tempatan terutama syarikat
Bumiputera sekali gus mencipta lebih banyak pekerjaan berkualiti tinggi
untuk rakyat.
“Kami turut membincangkan mengenai peri penting
melaksanakan peralihan tenaga yang mampan bagi menjamin kelestarian
ekonomi,” katanya menerusi catatan di laman Facebook.
Beliau yang
juga menteri kewangan turut memaklumkan pada mesyuarat itu,
perbincangan utama adalah mengenai pelaburan oleh Khazanah untuk
mengukuhkan ekosistem ekonomi domestik yang tidak hanya kepada syarikat
permulaan, tetapi juga kepada perniagaan sudah berjaya dan memerlukan
modal mendanai pertumbuhan masa depan.
Melalui penglibatan
Khazanah, inisiatif itu jelasnya akan dapat membangunkan bakat pekerja
tempatan serta meningkatkan keupayaan dan daya saing negara.
Selaras
prinsip Malaysia Madani jelasnya, Khazanah digesa agar terus kekal
berada di landasan betul dengan mandat sedia ada untuk menyampaikan
manfaat ekonomi dan sosial yang mampan demi rakyat serta masa depan yang
lebih baik untuk negara.
Khazanah juga tegasnya akan terus
bekerjasama dengan kerajaan menerusi strategi ‘Memajukan Malaysia’ untuk
memastikan hala tujunya sejajar dengan matlamat pembangunan ekonomi
negara.
“Kerajaan komited untuk terus memacu ekonomi Malaysia ke hadapan di dalam suasana ketidaktentuan pasaran dan geopolitik global.
“Dalam
hal ini, usaha menggembleng yang lebih kukuh antara sektor swasta dan
juga kerajaan sama ada di peringkat persekutuan, negeri dan pihak
berkuasa tempatan mesti terus dipertingkat,” kata Ahli Parlimen Tambun
itu. 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button