Semasa

Nurul Izzah tidak akan biarkan fitnah berulang oleh pembangkang

NAIB PRESIDEN KEADILAN, Nurul Izzah Anwar akan bertindak tegas terhadap pihak
yang menyebarkan fitnah terhadap dirinya menerusi laman media sosial.

Nurul Izzah kecewa fitnah jadi budaya
Menurut
beliau, cacian dan makian sudah menjadi kebiasaan terhadap dirinya
sejak menyertai politik namun menetapkan setiap perbuatan perlu ada
sempadan.
“Saya menyertai perjuangan ini sejak 1998 dan sememangnya sedari dulu, kami dicerca, diselar dan diserang. Jelas, ada batasnya.
“Cacian
dan makian boleh saya hadap, dalam menjalankan kerja membina negara
tetapi fitnah tidak akan sekali saya biarkan,” katanya menerusi satu
hantaran di Facebook.
Izzah berkata demikian bagi mengulas
mengenai satu klip video TikTok yang membuat tuduhan serius, jahat dan
fitnah terhadap dirinya.
Beliau yang juga bekas Ahli Parlimen
Permatang Pauh berkata satu laporan polis telah dibuat oleh pihaknya dan
yakin satu tindakan tegas akan diambil oleh pihak berkuasa.
“Apapun
yang saya lakukan, hatta tidak berkait sekalipun dengan penyalahgunaan
kuasa, ataupun dana kerajaan, tidak menolak pihak pembangkang yang terus
menyebar fitnah –  terutamanya dengan bahan kosong yang menyentuh
kredibiliti dan integriti saya.
“Satu laporan polis telah dibuat
ke atas penyebar fitnah yang berkenaan dan saya percaya dengan sistem
perundangan negara agar tindakan dapat diambil ke atas mereka,”
tegasnya.
Tambahnya lagi, Malaysia tidak akan maju dan berjaya sekiranya dunia politik terus dicemari dengan budaya fitnah dan adu domba.
“Moga suatu hari nanti, dunia politik Malaysia berubah menjadi lebih baik dengan berlandaskan politik nilai dan dasar.
“Semoga
Allah SWT terus memberi petunjuk kepada kita semua, khususnya kepada
mereka yang amat gemar memetik nama Yang Maha Esa,” katanya.
-AA

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button