Global

Malaysia lakar kemenangan dalam kes tuntutan Kumpulan Sulu- PM Anwar

MAHKAMAH Rayuan The Hague di Belanda menolak permohonan kumpulan Sulu untuk mengiktiraf dan menguatkuasakan award akhir timbang tara sebanyak US$14.9 bilion (RM62.59 bilion) di negara itu.

Keputusan di The Hague disifatkan sangat penting

Keputusan penting itu dikongsikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini dalam lawatan rasmi dua hari ke Laos pada Selasa melalui satu kenyataan media. 
Tambahnya, keputusan itu sekali gus menghalang apa-apa usaha pihak yang menuntut untuk menguatkuasakan tuntutan mereka yang tidak sah terhadap Kerajaan Malaysia di Belanda.
“Kerajaan Malaysia yakin bahawa dengan keputusan ini, Kerajaan adalah semakin hampir untuk membatalkan sepenuhnya award akhir yang tidak sah dan disalahgunakan oleh pihak yang menuntut yang berjumlah hampir US$15 bilion yang dikeluarkan oleh Dr Gonzalo Stampa dan sekali gus menjadikan tuntutan tersebut hanyalah sebagai sebahagian daripada sejarah.
“Malaysia percaya bahawa keputusan Mahkamah Rayuan The Hague pada hari ini, bersama-sama dengan keputusan Mahkamah Rayuan Paris baru-baru ini akan menamatkan usaha sia-sia pihak yang menuntut untuk menguatkuasakan award akhir di negara-negara lain,” katanya. 
Pada 2019, kumpulan Sulu membawa kes itu kepada penimbang tara Sepanyol untuk mendapatkan pampasan bagi tanah di Sabah, yang didakwa telah dipajak oleh nenek moyang mereka kepada sebuah syarikat perdagangan British pada 1878.
Stampa, yang dilantik oleh kumpulan Sulu itu, pada 28 Feb 2022 telah membuat keputusan yang memihak kepada mereka dan memberikan award akhir sebanyak US$14.9 bilion (RM62.59 bilion) kepada lapan individu terbabit yang kemudian didapati tidak sah kerana pelantikan beliau sebagai penimbang tara telah dibatalkan oleh Mahkamah Sepanyol.
Kumpulan itu kemudian membawa kes tersebut ke Mahkamah Paris. Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan Paris pada 14 Mac 2023, mengekalkan perintah penggantungan yang diperoleh Malaysia terhadap pelaksanaan award akhir tersebut.
 
Dalam usaha mereka untuk menguatkuasakan award itu, kumpulan Sulu terbabit telah dilaporkan cuba menyita aset Petronas di Luxembourg dan Belanda selain menyasarkan aset diplomatik Malaysia di Perancis (termasuk sebahagian daripada kedutaannya di negara itu). 
Anwar berkata sehingga kini, kerajaan Malaysia tidak pernah berhenti dalam usaha untuk melindungi kedaulatan, keselamatan negara serta kepentingan negara dan kes Sulu ini membuktikan bahawa terdapat pencabulan yang nyata terhadap kekebalan kedaulatan Malaysia yang merupakan suatu perkara penting bagi setiap warganegara Malaysia MADANI. 
Kerajaan Malaysia tegasnya akan meneruskan usaha melalui apa-apa jua cara bagi menentang eksploitasi dan penyalahgunaan sistem timbang tara antarabangsa termasuk mengambil sebarang tindakan yang perlu bagi mendapatkan kembali segala kos perundangan dari sumber kewangan negara yang terpaksa dibelanjakan dalam menangani tuntutan ini.
“Kerajaan Malaysia yakin bahawa ia dapat menegakkan keadilan bagi seluruh rakyat Malaysia,” katanya dalam kenyataan tersebut. 
Melalui kenyataan serupa beliau turut merakamkan penghargaan kepada Pengerusi Sekretariat Khas yang juga Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi Datuk Seri Azalina Othman Said, Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Peguam Negara Tan Sri Idrus bin Harun serta semua kementerian dan agensi berkaitan termasuk peguam antarabangsa serta semua pihak yang terlibat dalam usaha tersebut. 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button