Semasa
Gaji minima: Tempoh penagguhan untuk majikan kurang lima pekerja berakhir
SETELAH ditangguhkan selama enam bulan, Pelaksanaan gaji minimum sebanyak RM1,500 melibatkan majikan yang mempunyai kurang lima pekerja akan berkuat kuasa bermula hari ini.
Pelaksanaan gaji minima libat semua sektor |
Menurut Menteri Sumber Manusia (KSM), V Sivakumar, keputusan itu dibuat kerajaan selepas mengambil kira soal kesediaan majikan dalam kategori berkenaan bagi menguatkuasakan gaji minimum baharu kepada pekerja mereka.
Selain itu jelasnya, Kementerian turut mengambil kira pandangan pelbagai pihak berkepentingan berdasarkan jangkaan cabaran ekonomi serta kewangan yang bakal dihadapi tahun 2023.
“Penguatkuasaan di bawah Perintah Gaji Minimum (PGM) 2022 itu melibatkan semua sektor termasuk perladangan, pertanian dan pembuatan kecuali perkhidmatan domestik dan aparentis.
“Berdasarkan keputusan yang diumumkan kerajaan sebelum ini, penguatkuasaan tersebut telah ditangguhkan selama enam bulan berbanding tarikh awal yang ditetapkan iaitu 1 Januari 2023,” kata Kementerian dalam satu kenyataan.
Sebagai rekod, pelaksanaan gaji minimum baharu itu telah diluluskan kerajaan pada 19 Mac 2022 dan diwartakan melalui Warta Kerajaan Persekutuan yang dikeluarkan Jabatan Peguam Negara pada 27 April 2022.
Susulan itu kerajaan menguatkuasakan perkara tersebut untuk semua sektor tanpa mengira wilayah bagi majikan yang menggajikan lima pekerja atau lebih bermula 1 Mei 2022.
Bagaimanapun, menurut peraturan, semua majikan yang menggajikan kurang daripada lima pekerja, diberi pengecualian dan pelaksanaan PGM 2022 berkuat kuasa pada 1 Januari 2023 selama enam bulan.