Semasa

PM sarankan bank terus bantu PKS, individu memerlukan

INSTUTUSI perbankan disaran untuk terus menawarkan bantuan bayaran balik pinjaman
kepada individu dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang
memerlukan, termasuk bantuan penjadualan dan penstrukturan semula
pinjaman mereka.

Industri kewangan juga ada peranan sosial 
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim
berkata pada masa yang sama, peminjam yang bermasalah boleh mendapatkan
khidmat nasihat secara percuma dan bantuan bayaran balik pinjaman
melalui Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).
Jelasnya,
industri perbankan mempunyai peranan yang penting dalam mendorong
pertumbuhan ekonomi pasca pandemik, terutama dalam membantu peminjam
yang masih terkesan.
“Saya berpuas hati dengan komitmen yang ditunjukkan oleh institusi perbankan yang bersedia untuk membantu rakyat dan PKS.
“Industri
perbankan perlu terus menyokong pembangunan usahawan mikro terutama
golongan rentan,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Menurut
Anwar yang juga Menteri Kewangan, industri perbankan perlu terus
menyokong pembangunan usahawan mikro terutama golongan rentan melalui
inisiatif seperti i-Tekad yang menawarkan modal permulaan dan pembiayaan
mikro dengan menggunakan sumber gabungan dana daripada institusi
kewangan dan dana kewangan sosial seperti zakat.
Pada 28 Jun
lalu, satu sesi dialog diadakan bersama-sama wakil perbankan sebagai
usaha berterusan kerajaan untuk mendapatkan pandangan berkaitan ekonomi
negara.
Antara lain, perbincangan menyentuh dasar-dasar bagi
memastikan industri kewangan di Malaysia kekal relevan dan inklusif
dalam menyokong pertumbuhan ekonomi yang mampan.
Sesi dialog itu
dihadiri Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Jessica Chew serta
wakil bank iaitu AMBank, Al-Rahji Bank, Bank Islam Malaysia, CIMB, HSBC
Bank, Maybank, Public Bank, RHB Bank dan Standard Chartered Bank.
Wakil
industri perbankan yang hadir turut bersetuju bahawa tumpuan kini
terarah kepada usaha untuk memacu peralihan ke arah negara karbon sifar
bersih serta agenda pendigitalan yang lebih meluas.
Perbincangan
berkenaan turut menyentuh bidang-bidang pertumbuhan baharu yang boleh
memperkukuh saranan nilai Malaysia dalam kalangan pelabur serantau dan
global.
“Ketika kerajaan sedang merumus Naratif Ekonomi Madani,
termasuk mengenal pasti sektor keutamaan bagi pertumbuhan dan pelaburan
masa hadapan negara, kita juga hendaklah memastikan industri kewangan
dan pasaran modal berinovasi selari dengan perubahan landskap global.
“Saya
turut menyeru supaya industri kewangan membawa wadah segar dalam
mengekalkan Malaysia sebagai peneraju global bagi kewangan Islam serta
membina kekuatan sektor elektrik dan elektronik (E&E),” katanya.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button