Semasa

PM Anwar jaminan siasatan rapi dakwaan rasuah di KLIA

PERDANA MENTERI, Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat lawatan mengejut ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini dan berkata, terdapat ruang untuk penambahbaikan bagi memantapkan pengoperasian di pintu masuk negara ini.

Anwar juga memberi jaminan untuk melakukan siasatan rapi terhadap isu membabitkan pegawai Imigresen di KLIA.

Bahkan, katanya, tindakan juga akan diambil kepada pihak terbabit andai wujud kesilapan yang tidak sepatutnya sehingga menjejaskan kelancaran operasi di lapangan terbang tersebut.

“Saya dapati ada ruang untuk penambahbaikan bagi memantapkan pengoperasian di pintu masuk negara ini.

“Saya sempat bertegur sapa dan bertanyakan kepada anggota serta pegawai bertugas berkenaan operasi harian, baik di kaunter ketibaan mahupun pelepasan,” kata Anwar dalam kenyataan di Facebook beliau.

Beliau membuat lawatan mengejut itu selepas kekecohan berlaku ekoran tindakan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing meminta pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat isu salah guna kuasa yang kronik di pintu masuk negara.

Tanpa diiringi menteri Kabinet atau orang kenamaan, Anwar mengadakan lawatan mengejut kira-kira 30 minit di KLIA itu, sebelum menyertai upacara keberangkatan pulang Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah ke tanah air, selepas menunaikan ibadah haji di Kompleks Bunga Raya, KLIA di Sepang.

Menurut Anwar, kesempatan beliau turun ke KLIA itu juga digunakan untuk melihat sendiri isu berbangkit atau permasalahan sewaktu pengendalian harian membabitkan pelancong dan warga asing selain warga tempatan.

“Berhubung insiden membabitkan pelancong China baru-baru ini, saya memberi jaminan, siasatan rapi akan dijalankan pihak berkuasa hatta perbincangan awal akan dilakukan dalam mesyuarat Jemaah Menteri Rabu ini.

“Sementelahan, tindakan juga akan diambil pihak terbabit andai wujud kesilapan yang tidak sepatutnya sehingga menjejaskan kelinciran operasi.

“InsyaAllah tahap keselamatan dan pengoperasian di lapangan terbang negara akan senantiasa ditambahbaik dalam memastikan perkhidmatan sewajarnya diberikan kepada semua pihak,” katanya.
-AA

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button