Semasa

Jabatan Pendaftaran Negara dan Imigresen sedang disiasat – PM Anwar

JABATAN IMIGRESEN (JIM) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang terletak di bawah Kementerian Dalam Negeri sedang disiasat pihak berkuasa berhubung amalan rasuah dan salah guna kuasa.

Perkara berkenaan didedahkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika Perjumpaan Bulanan Perdana Menteri bersama Warga Jabatan Perdana Menteri, pada Isnin.

Anwar berkata, beliau menerima menerima maklumat wujudnya unsur salah guna kuasa di JPN apabila proses untuk mendapatkan sijil warganegara dikenakan dengan bayaran tertentu oleh mereka yang layak mendapat status kewarganegaraan.

“Semalam (Ahad) saya terima mungkin masih dalam siasatan di JPN.

“Kita permudahkan orang yang layak mendapat status kewarganegaraan dan sebagainya untuk mendapatkan sijil itu dikenakan lagi bayaran. Tapi jumlahnya terlalu kecil harus ada tindakan yang keras dan tegas, kalau tidak dia merosakkan seluruh imej pentadbiran,” katanya.

Dalam masa yang sama beliau berkata, masih ada kelompok kecil dalam JIM yang selesa dengan amalan lama khususnya perlakuan rasuah.

“Umpamanya semua kaunter Imigresen berfungsi, maknanya majoriti kakitangan Imigresen menjalankan tugas dengan baik tetapi seperti mana juga kita sedar dan sering saya tegaskan ada kumpulan kecil yang masih biasa dengan sistem dan amalan lama.

“Saya percaya itu bidang kuasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang harus bertindak. Selalu kita sebut, kerana nila setitik rosak susu sebelanga,” tambah Anwar.

Secara keseluruhannya, Anwar berkata segala kelemahan sedia ada harus diperbaiki dengan wajar agar ia tidak menjejaskan imej jabatan, penjawat awam dan negara.

Pada Ahad, Anwar membuat lawatan mengejut ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) selepas isu kekecohan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing yang mendakwa pegawai JIM mengamalkan rasuah dengan meminta sejumlah wang daripada pelancong China.

Ekoran itu, beliau memberi jaminan menjalankan siasatan rapi akan dibuat terhadap isu berkenaan.

-AA

Related Articles

Back to top button