Kerajaan peruntuk RM2 juta bantu golongan B40 dapatkan lesen
PROGRAM MyPSV yang dilancar Kementerian Pengangkutan merupakan usaha membantu golongan berpendapatan rendah (B40) mendapatkan Lesen Vokasional Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV).
Menterinya Anthony Loke Siew Fook berkata Kerajaan Perpaduan memperuntuk RM2 juta di bawah inisiatif Belanjawan Madani 2023 yang akan memanfaatkan 4,000 calon untuk memperoleh lesen tersebut.
“Ia akan memberi manfaat kepada kepada 4,000 calon merangkumi 3,500 orang untuk lesen PSV e-hailing atau teksi dan 500 orang untuk lesen PSV bas.
“Peruntukan ini meliputi kos ujian dan latihan kepada dengan calon dengan kadar RM2,590 untuk setiap calon PSV bas manakala RM190 untuk setiap calon PSV e-hailing atau teksi,” katanya pada Majlis Pelancaran Program MyPSV di Batang Kali, Selangor, semalam.
Turut hadir adalah Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Haris Kasim, Exco Kerajaan Tempatan dan Pengangkutan Awam Selangor, Ng Sze Han dan Ketua Pengarah Pengangkutan Jalan, Rospiagos Taha.
Loke memaklumkan program itu juga bertujuan meningkat taraf sosioekonomi B40 melalui peluang pekerjaan dalam sektor ekonomi gig serta menambah baik sektor pengangkutan awam negara.
“Kerajaan berharap inisiatif ini dapat membantu golongan B40 yang kini berdepan cabaran ekonomi mendapatkan lesen PSV.
“Namun terdapat beberapa syarat perlu dipatuhi calon bagi memperoleh lesen di mana di bawah program MyPSV bas perlu menduduki kursus teori vokasional, latihan dan ujian praktikal.
“Calon MyPSV e-hailing hanya perlu menduduki kursus teori e-hailing sahaja,” katanya.
Terdahulu, pada pembentangan Belanjawan 2023, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengumumkan bahawa kerajaan menerusi program MyPSV bersetuju menanggung bayaran bagi mendapatkan lesen teksi, bas dan e-hailing bagi membantu kumpulan B40, khususnya dalam kalangan belia.