Laporan awal insiden Jeram Mawar siap dalam masa terdekat
LAPORAN awal mengenai kejadian kepala air di Jeram Mawar, Air Putih di Kemaman, Terengganu dijangka siap dalam masa terdekat.
Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad berkata ketika ini Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) masih melakukan tinjauan awal di lokasi kejadian dan pihak polis sedang melakukan siasatan.
“Sekarang sudah ada tinjauan awal daripada pihak JMG dan siasatan polis, laporan mengenai kejadian itu akan siap dalam masa terdekat,” katanya.
Nik Nazmin sebelumnya ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan kerja projek membina dan menaik taraf sistem saliran di negeri Kelantan dekat Taman Wadi Iman, Kok Lanas, di Kota Bharu semalam.
Media pada Ahad melaporkan insiden 10 individu termasuk sembilan sekeluarga berasal dari Felda Lepar Hilir, Kuantan, Pahang dihanyutkan arus deras kepala air ketika berkelah dikawasan tersebut.
Dalam kejadian itu, dua mayat ditemukan orang ramai pada 12.30 tengah hari, manakala tujuh lagi mayat mangsa tragedi ditemui semalam dan seorang lagi dikhuatiri masih hilang.
Insiden itu mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu mengutuskan takziah buat ahli keluarga mangsa tragedi dan berharap semoga ahli keluarga kepada mangsa diberi ketabahan menempuhi dugaan itu.
“Saya juga mendoakan agar misi mencari dan menyelamat dipermudahkan,” katanya dalam ciapan Twitter hari ini.
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga mangsa.