Persekutuan salur RM11.4 juta tangani banjir di Kelantan
KERAJAAN persekutuan memandang serius isu banjir yang kerap melanda Pantai Timur terutama Kelantan.
Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, bagi tujuan itu kerajaan memperuntukkan sebanyak RM11.5 juta untuk menaik taraf empat sistem saliran dengan kadar segera di negeri itu bagi mengatasi masalah banjir.
Empat projek membabitkan projek membina dan menyiapkan saliran bagi mengelakkan banjir di Baruh Kadok ke Pasar Batu 8; projek menaik taraf sistem saliran di Taman Wadi Iman, Kok Lanas; Kampung Kota, kawasan belakang Istana Negeri Kubang Kerian dan pembinaan saliran di Kampung Kota, Kota Bharu tersebut jelasnya akan dilaksanakan segera bermula pertengahan Julai ini.
“Projek ini membabitkan kerja menaik taraf saliran konkrit, membaik pulih jalan dan penutup longkang, pengalihan utiliti Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB), Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Telekom Malaysia serta kerja lain yang berkaitan,” jelasnya.
Nik Nazmi yang juga Pengerusi Bersama Majlis Tindakan Pembangunan Negeri Kelantan berkata begitu pada sidang media di Lawatan Kerja Menteri ke projek membina dan menaiktaraf sistem saliran bagi mengatasi masalah banjir di Taman Wadi Iman, Kok Lanas, Kota Bharu pada Isnin.
Sementara itu tambahnya, projek di Baruh Kadok ke Batu 8 dapat mengatasi masalah banjir kilat pada setiap musim tengkujuh dan hujan lebat berikutan saliran sedia ada di lot persendirian yang dikambus.
“Keadaan ini menyebabkan air bertakung dari kawasan Baruh Kadok seluas 12 hektar hingga ke Pasar Batu 8 dan menyebabkan banjir. Aliran trafik di Jalan Kota Bharu ke Kuala Krai juga turut terjejas.
“Tiga projek lain iaitu di Kampung Kota, kawasan belakang Istana Negeri Kubang Kerian dan Taman Wadi Iman, Kok Lanas dijangka siap pada pertengahan tahun hadapan.
“Apabila siap sepenuhnya, tanah seluas 452 hektar yang menjadi kawasan banjir dijangka dapat dikurangkan dan memberi manfaat kepada 7,300 penduduk,”
Dalam perkembangan yang sama, Nik Nazmi berkata, projek tebatan banjir adalah menjadi keutamaan kepada kementeriannya.
Peruntukan besar untuk projek-projek itu adalah tindakan mencegah banjir secara proaktif yang diambil kerajaan di peringkat Persekutuan.
“Justeru, kita akan membuat perancangan termasuk berbincang dengan Majlis Tindakan Pembangunan Negeri kerana ia turut membabitkan pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya.