Semasa

PM Anwar ikrar pertahan Islam dan hak rakyat

PERDANA MENTERI, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Kerajaan Perpaduan yang dipimpin olehnya akan menegakkan syiar dan penghayatan Islam dan memastikan hak serta keadilan rakyat Malaysia dipertahankan.

Beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) menegaskan, beliau akan menggunakan mandat dan amanah yang diberikan rakyat untuk tujuan tersebut.

“Saya sebagai seorang Muslim tentu ada tanggungjawab dengan hak untuk pertahan.. hak meninggikan syiar dan keadilan termasuk kepada golongan bukan Islam.

“Dalam konsep Malaysia Madani juga tidak lari daripada prinsip ini,” katanya.

Beliau membuat ikrar itu ketika berucap dalam majlis perasmian peluncuran Buku Adab Perbezaan Pendapat Dalam Islam di Auditorium Jabatan Kemajuan Islam (Jakim), Kompleks Islam Putrajaya pada Selasa.

Dalam pada itu, Anwar turut menggesa rakyat negara ini memberi peluang kepada Kerajaan Perpaduan untuk melaksanakan prinsip-prinsip yang terdapat dalam konsep Malaysia Madani. 

Untuk rekod, pentadbiran Anwar giat menggerakan pelbagai program bagi meningkatkan syiar Islam di negara ini. 

Ia termasuk meletak sasaran melahirkan 125,000 hufaz profesional di seluruh negara menjelang tahun 2050.

Anwar pada 26 Mei lalu turut menyuarakan hasrat supaya institusi masjid di negara ini menjadi pangkalan ibadah dan pusat ilmu, sekali gus mengangkat martabat dan darjat umat Islam.

Related Articles

Back to top button