Semasa

Tindakan tegas terhadap parti politik sentuh isu 3R – KPN

Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi amaran akan mengambil tindakan tegas terhadap parti politik yang menyentuh isu 3R iaitu bangsa, agama serta institusi diraja sepanjang perjalanan Pilihan Raya Negeri (PRN) di Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan dan Terengganu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata oleh itu, parti politik yang bertanding diingatkan supaya tidak memainkan isu sensitif sepanjang tempoh berkempen khususnya berkaitan 3R.

Beliau berkata ini bagi mengelakkan wujudnya kegusaran dan mencetuskan rasa tidak harmoni dalam kalangan rakyat sepanjang proses PRN itu nanti.

“Kita nampak apabila isu 3R dimainkan maka akan berlaku perpecahan dan mewujudkan keadaan tidak harmoni dalam kalangan masyarakat, lagipun saya percaya semua yang bertanding merupakan orang-orang lama (dalam politik).

“Jadi kita mahu PRN kali ini berlangsung dalam keadaan sangat aman dan tidak berlaku ketidakharmonian dalam perjalanan PRN, pengundi juga boleh keluar mengundi dan memilih calon mereka (dengan selamat),” katanya dipetik laporan Bernama.

Beliau berkata parti politik yang bertanding juga diingatkan agar mematuhi peraturan dan undang-undang sedia ada khususnya yang berkaitan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 serta Akta Hasutan.

“Kita sendiri ada pegawai perakam dan pegawai zon yang memantau perjalanan kempen sepanjang PRN, mereka berperanan merekodkan serta memantau semua ceramah, jika ada yang didapati menyentuh isu 3R, siasatan akan terus dijalankan sama ada oleh Bukit Aman atau kontinjen negeri itu sendiri,” tambahnya.

Mengulas lanjut Razarudin turut memaklumkan seramai 40,000 pegawai dan anggota polis akan bertugas sepanjang proses PRN di enam negeri terbabit.

Selain tu jelasnya, beliau akan melakukan lawatan bagi melihat persiapan PRN di Kelantan dan Terengganu selepas berbuat demikian di Kedah, Selangor, Negeri Sembilan serta Pulau Pinang dan mendapati semuanya berjalan lancar.

Bagi melancarkan kempen parti-parti politik bertanding, pihaknya turut menasihatkan agar parti politik memohon permit ceramah lebih awal bagi memudahkan urusan kelulusan.

“Polis memang melayan setiap permohonan untuk mendapatkan permit dalam tempoh 24 jam namun kita mohon parti politik melakukannya lebih awal untuk mengelak berlakunya pertembungan dengan parti lain di satu-satu kawasan ketika mereka berceramah,” katanya.

-AA

Related Articles

Back to top button