Semasa

Maklumat tular STR tambahan RM600 palsu – MOF

Kementerian Kewangan (MOF) menafikan maklumat yang tular di aplikasi Telegram mengenai tambahan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) sebanyak RM600.

Melalui satu hantaran di laman Facebook rasminya, MOF memaklumkan STR Fasa 3 sudah disalurkan pada 26 Jun lalu.

“Kementerian Kewangan ingin menegaskan maklumat mengenai tambahan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) sebanyak RM600 adalah palsu,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu MOF turut menasihati orang ramai agar mengikuti saluran rasmi bagi mendapatkan maklumat sahih serta memastikan pautan berita adalah sah dan betul.

Dalam kenyataan sama. MOF memaklumkan tempoh permohonan rayuan juga telah dibuka mulai 3 hingga 31 Julai bagi memastikan program tersebut disasarkan kepada yang layak.

Pemohon terbabit boleh mengemukakan dokumen berkaitan untuk semakan semula oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM).

Pembayaran STR fasa 3 dengan peruntukan lebih RM2 bilion yang awalnya dijadualkan pada Julai telah dipercepatkan dan disalurkan sebelum Hari Raya Aidiladha lalu.

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah tersebut adalah bagi meringankan beban kewangan rakyat.

Related Articles

Back to top button